Friday 6 September 2013

Buru ‘lanun’ KL Gangster 2



Polis jejak dalang muat naik filem di YouTube

Kuala Lumpur: Polis memburu pihak yang bertanggungjawab memuat naik filem KL Gangster 2 ke laman YouTube.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata selain itu, anggotanya juga mengawasi pasar malam bagi mengesan penjualan cakera padat digital (DVD) filem berkenaan.
Katanya, langkah itu adalah kerjasama polis terhadap siasatan kes berkenaan yang kini diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Polis menerima laporan berhubung perkara itu daripada bapa pengarah filem berkenaan, Datuk Yusof Haslam, pada Isnin lalu.

Di Sungai Petani, Bahagian Kawalan Penapisan Filem (BKPF) Kementerian Dalam Negeri merampas lebih 700 keping DVD cetak rompak, termasuk filem KL Gangster 2 dalam satu serbuan di sebuah pasar malam di Tikam Batu, dekat Kuala Muda, malam kelmarin.

Semua DVD cetak rompak itu dirampas dari tiga gerai di situ.

Pengarahnya, Zainal Abidin Othman, berkata pihaknya terpaksa menyamar sebagai pelanggan sebelum melakukan serbuan ke atas premis menjual DVD cetak rompak itu pada jam 8.10 malam.
“Hasil pemeriksaan, pelbagai DVD cetak rompak ditemui di ketiga-tiga premis terbabit, termasuk filem KL Gangster 2 yang masih belum ditayangkan di pawagam,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran BKPF KDN Kedah di sini, semalam.

200,000 DVD dirampas

DVD itu dipercayai dikeluarkan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sebelum dihantar ke negeri ini untuk dijual secara kecil-kecilan.

Di Papar, Sabah, BKPF merampas lebih 200,000 DVD lucah dan cetak rompak bernilai sekitar RM1.4 juta, termasuk filem KL Gangster 2, dalam serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Taman Suvuang, jam 9.30 pagi kelmarin.

Pengarah BKPF Sabah, Ahmad Hilmi Said, berkata tujuh individu termasuk dua wanita, berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, turut dirampas 30 unit alat yang digunakan untuk memproses DVD cetak rompak di rumah terbabit.
OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”