Tuesday, 26 June 2012

Pelajar sekolah jumpa bayi dibuang tepi semak


KOTA BHARU – Seorang pelajar sekolah tidak menyangka gumpalan kertas surat khabar berlumuran darah yang ditemuinya semalam dalam perjalanan ke sekolah, mengandungi seorang bayi lelaki yang masih hidup.
Mohd Razif Zaid, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Mas di sini berkata, dia menemui bayi berkenaan dalam kertas surat khabar di tepi semak ketika berjalan ke sekolah bersama seorang rakan pukul 7.20 pagi.
“Saya bersama rakan terkejut apabila ternampak kertas surat khabar itu penuh dengan darah di tepi semak dan apabila mendekati melihat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditinggalkan di situ.
“Saya kemudian memberitahu pekerja kantin sekolah mengenainya sebelum dia (pekerja kantin) menghubungi polis untuk tindakan seterusnya,” kata Mohd Razif kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Pelajar itu berkata, bayi itu masih bertali pusat dan tidak menangis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan susulan. – BERNAMA


Mohammed Mursi Presiden baru Mesir


KAHERAH – Wakil Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi diisytihar memenangi pemilihan Presiden Mesir yang pertama selepas Hosni Mubarak digulingkan awal tahun lalu.

Mohammed, yang mewakili Parti Kebebasan dan Keadilan, memperoleh 51.73 peratus undi atau lebih 13 juta undi manakala pencabarnya di pusingan kedua pemilihan, Ahmed Shafiq, yang juga bekas Perdana Menteri era Hosni, mengumpulkan 48.27 peratus undi atau lebih 12 juta undi.

Menjelang pengumuman hari ini, yang mula dibuat sejak jam 9 malam tadi (waktu Malaysia), protes diadakan di Dataran Tahrir ekoran pengumuman Majlis Agung Angkatan Tentera (Scaf) bahawa pihaknya mahu mengurangkan atau mengehadkan kuasa presiden dan pada masa yang mengukuhkan kuasa tentera.
Pemilihan pusingan kedua diadakan awal minggu lepas. Sebaik sahaja pengundian berakhir, kedua-dua calon itu mengisytiharkan diri mereka sebagai pemenang.

Keputusan pemilihan sepatutnya diumumkan Khamis lalu, tetapi ditangguhkan ekoran aduan daripada calon-calon yang bertanding berhubung proses pengundian dan kiraan kertas undi.

Pusingan pertama pemilihan diadakan bulan lalu.
Seramai 50.3 juta pengundi layak mengundi pada pemilihan kali ini. Kira-kira 37,000 kertas undi telah dibatalkan, kata Ketua Suruhanjaya Pemilihan Presiden, Farouk Sultan yang membacakan mukadimah kira-kira 90 minit sebelum mengumumkan nama pemenang sekitar jam 10.30 malam (waktu Malaysia).

Katanya, suruhanjaya itu menerima sebanyak 452 rayuan daripada kedua-dua calon.
Pengumuman itu membawa kepada kegembiraan di kalangan penyokong Mohammed yang berhimpun di Dataran Tahrir sejak beberapa hari lalu.

Kelewatan pengumuman mencetuskan rasa gelisah dan ketegangan di Mesir khususnya di kalangan penyokong dan pengikut Mohammed.

Pengumuman dibuat di sebalik kawalan ketat ekoran kebimbangan bahawa keputusan pemilihan boleh membawa kepada pergaduhan, sekali gus mencetuskan keadaan tidak terkawal sebagaimana disaksikan awal tahun lalu – ketika kebangkitan rakyat yang membawa kepada kejatuhan kepimpinan Hosni.

Keputusan pemilihan pusingan kedua ini diumumkan kira-kira dua minggu selepas Hosni dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan hampir seminggu selepas pihak pemerintah tentera mengumumkan akan menyerahkan kuasa kepada presiden baru, tetapi mengekalkan beberapa kuasa penting di pihak mereka.
Kuasa presiden dihadkan manakala perlembagaan pula belum dirangka.


Misteri hantu pocong terjawab



SEBAHAGIAN barangan milik pengunjung yang dicuri ditinggalkan di dalam hutan Hutan Lipur Kanching, Rawang.
RAWANG – Pengunjung terutama pelancong asing di kawasan rekreasi air terjun Hutan Lipur Kanching di sini didakwa sering diganggu lembaga misteri.
Kelibat lembaga dikatakan berpakaian putih seolah-olah hantu pocong itu menakutkan pengunjung dan ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, menurut penduduk, perbuatan itu merupakan tindakan segelintir individu dipercayai penagih dadah yang mencuri barangan pengunjung.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 35, berkata, beberapa kes dilaporkan berlaku sebelum ini dan kejadian terakhir berlaku dua minggu lepas.
“Individu ini berpakaian seperti hantu untuk menakutkan pengunjung yang berkelah dan apabila pengunjung melarikan diri, barangan mereka akan dicuri. Ada kes pengunjung juga diragut,” jelasnya.
Perkara yang sama pernah berlaku pada empat tahun lalu tetapi selepas individu itu ditangkap oleh pihak berkuasa, ia kini timbul semula.
“Kami penduduk menggelar lembaga itu hantu pocong kerana dia berpakaian dengan menyelubung kepala sebelum meragut dan menyamun mangsa,” jelasnya.
Katanya, lembaga itu disyaki mereka yang mahir selok-belok hutan kerana menjadikan jalan hutan sebagai laluan keluar masuk.

Lelaki kudung kaki panjat Kilimanjaro



GAMBAR pada 22 Jun menunjukkan lelaki kudung kedua-dua kakinya, Spencer West tiba di puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania.
MONTREAL, Kanada – Seorang lelaki yang kudung kedua-dua belah kaki berjaya menakluk puncak tertinggi di Afrika, Gunung Kilimanjaro, sekali gus menyangkal dakwaan beberapa doktor bahawa dia tidak akan dapat berfungsi dan menyumbang kepada masyarakat.
Spencer West, 31, hilang kakinya ketika masih kanak-kanak akibat penyakit genetik, sacral agenesis yang menyebabkan bahagian bawah badannya lumpuh.
Namun, warga bandar Toronto di Kanada itu tidak membiarkan kecacatan itu menghalangnya.
Dia tiba di puncak Kilimanjaro, pada ketinggian sekitar 6,000 meter dari aras laut, Selasa lepas.
“Mendaki Gunung Kilimanjaro merupakan perkara paling mencabar yang pernah saya lakukan, baik dari sudut fizikal atau pun mental.
“Namun, dengan berbuat demikian kita sedar betapa pentingnya untuk kita percaya kepada diri sendiri dan orang lain,” kata West kepada agensi berita AFP dari Nairobi, Kenya.
“Saya memanjat menggunakan tangan. Ia memberi tekanan ke atas bahagian tersebut serta bahu saya,” tambahnya.
Sepanjang pendakiannya, West ditemani oleh dua sahabat baiknya, David Johnson dan Alex Meers. Matlamat mereka adalah untuk mengumpul dana buat Free the Children, sebuah pertubuhan yang membekalkan air bersih kepada beratus-ratus orang di Kenya.
Kenya mengalami kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun pada 2011.
Misi itu berjaya mengumpul lebih AS$500,000 (RM1.59 juta) untuk pertubuhan amal tersebut.
Dia mendaki Kilimanjaro berkenaan pada Selasa lepas dan tiba di kemuncak gunung berkenaan tiga hari kemudian. 

Subhanallah! Labah-labah Makan Ular


Pelik! Tetapi itulah hakikat yang sebenarnya. Seekor labah-labah mampu menjadikan ular sebagai mangsanya apabila ia tersangkut di sarang tersebut.
Labah-labah ini menggunakan kaedah yang sama iaitu menjadikan sarangnya sebagai umpan untuk mengumpan mangsa. Serius pelik, bila masa pula sarangnya mempunyai kekuatan mampu melekat sehingga begitu sekali. Jom layan gambar labah-labah makan ular.
Subhanallah! Kuasa Allah. Haiwan sekecil ini yang kita tahu, ia hanyalah haiwan pemangsa yang kecil tetapi mampu memerangkap seekor ular yang ternyata berbisa. Kecil-kecil cili padi. Tetapi jika dilihat daripada bentuk fizikal labah-labah tersebut, ternyata labah-labah tersebut amat berbisa.




Pelepah pinang wajah manusia


KLUANG – Seorang warga emas, Tan Gek Yong, 70, terkejut apabila pokok pinang yang ditanam di tepi rumahnya di Jalan Haji Manan, di sini mengeluarkan pelepah yang menyerupai wajah manusia.
Menurutnya, pokok pinang tersebut sudah hampir 10 tahun ditanam namun tidak pernah menunjukkan sebarang keanehan sebelum ini.
Katanya, kejadian aneh itu disedari sejak seminggu lalu sewaktu dia mahu menyiram pokok di halaman rumah dan terkejut apabila melihat pelepah terbabit.
“Saya hanya lihat sekejap sahaja pelepah itu kerana apabila melihatnya lama seolah-olah pelepah yang berwajah manusia sedang senyum itu tepat memandang saya.
“Sebelum ini, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku dan saya membersihkan pelepah itu setiap hari. Tetapi pada kali ini amat mengejutkan kerana wajah yang terdapat di pelepah itu lengkap dengan sepasang mata, hidung dan mulut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Tambahnya, dia tidak berani mendekati pokok pinang itu kerana mempercayai ia ada kaitan dengan unsur paranormal namun anaknya menyatakan itu adalah kejadian biasa.
Sementara itu, terdapat enam pokok pinang ditanam di kawasan rumahnya tetapi hanya satu sahaja yang mengeluarkan pelepah berwajah manusia.
“Bagaimanapun, saya tidak akan jualnya kerana pokok itu sudah lama saya tanam dan saya sayang pokok itu,” katanya.
Sementara itu, anaknya, Teng Num Ting, 37, berkata, dia melihat pelepah pokok itu dua hari lepas setelah diberitahu ibunya.
“Pelepah itu memang menyerupai wajah manusia dan saya terkejut apabila melihatnya. Walaupun sebelum ini pokok itu mengeluarkan banyak pelepah tetapi pada kali ini ia amat berlainan.
“Bagi saya, ia sangat unik dan pelik malah ibu saya yang selalu melihat pokok terbabit turut terkejut dengan kejadian yang berlaku itu,” katanya.


Gambar: Lisa Bahagia Bergelar Isteri


Pastinya ramai yang tertanya-tanya kemana hilangnya Lisa Surihani selepas begelar isteri kepada Yusry.
Mana tidaknya, Lisa kini jarang membuat penampilan di kaca televisyen mahupun gambar yang menghiasi dada majalah.
Jika di lihat pada gambar-gambar Lisa yang dimuat naik menerusi laman sosial twitter, kelihatan Lisa berbahagia bersama suami tercinta.
Selain itu, ramai peminat Lisa dan Yusry yang tidak sabar menanti pengumuman berita kehamilan Lisa.
Mereka yang menjalin cinta hampir setahun, telah diijab kabul pada 23 Februari tahun ini dan masih belum ada sebarang berita berkenaan kehamilan Lisa.
Namun yang pasti, sinar keceriaan dan kebahagiaan sebagai suami isteri jelas terpancar di wajah mereka hingga kini.







OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”