Monday 11 June 2012

Hobi pilihan Zizan







PEMANDUAN drift memerlukan kemahiran memandu yang lebih mencabar.
MERUPAKAN duta minuman tenaga isotonik, kDrive M7, Zizan percaya walaupun sukan ini masih lagi kurang dikenali namun potensi yang ditunjukkan ia mampu melahirkan lebih ramai pemandu drift dari negara ini suatu hari nanti.

“Saya memang minat dengan sukan pemotoran sejak sekian lama.
“Namun untuk menjadi pemandu drift sepenuh masa itu tidak mungkin kerana saya sudah mempunyai kerjaya lain. Tetapi saya percaya sukan ini mempunyai potensi yang besar di kalangan remaja kita,” katanya yang ditemui di Speed City KL Kelab Lumba Kuda Selangor, Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dibantu Pengurus Operasi Speed City KL, Shahril Assuan Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Warnbro, biarpun pemanduannya belum sempurna sepenuhnya namun bagi Zizan yang mahu sukan itu kekal sekadar hobinya memberitahu, untuk menguasai sukan tersebut seseorang itu mestilah mempunyai rutin latihan yang ketat serta minat yang mendalam.
“Seperti yang saya katakan tadi, minat saya dalam sukan ini hanya ebagai hobi sahaja.

“Namun bagi mereka yang mahu mengenali sukan ini lebih mendalam, mereka seharusnya menjalani latihan dengan lebih kerap dengan pakar-pakar di dalam bidang ini,” katanya bersungguh-sungguh.
Sokong usaha

Menyokong sukan drift ini diperkenalkan di peringkat yang lebih tinggi menurut Zizan, dia percaya jika usaha memperkenalkan sukan ini dipergiatkan adalah tidak mustahil sukan pemotoran ini berjaya seperti di negara Jepun.

“Saya sendiri menyokong sukan ini. Saya percaya ramai lagi di luar sana yang meminati sukan ini.

“Mungkin jika usaha ini diteruskan kita juga mampu bersaing dengan negara-negara yang sudah terkenal dengan sukan ini seperti negara Jepun,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman memandu kereta drift kata Zizan, berbeza dengan sukan pemotoran lain, drift memerlukan seseorang itu mempunyai keupayaan mengawal kereta melalui skil pemanduan yang agak berbeza.
“Seseorang yang ingin mengenali sukan ini seharusnya mempunyai keberanian yang tinggi.

“Selain keupayaan mengawal kenderaan, seseorang itu juga mestilah berlatih dalam menguasai skill pemanduan kereta yang baik. Ini kerana seorang pemandu drift mampu memberi tumpuan yang tinggi sewaktu dalam pemanduan,” katanya.

Pernah bercita-cita mahu dikenali sebagai seorang pelumba kereta, bagi Zizan walaupun ada yang beranggapan sukan ini agak bahaya namun dia percaya melalui latihan serta pengetahuan seseorang itu mampu mengelakkan dari terlibat di dalam kemalangan yang tidak diingini.
“Kita bercakap pasal sukan pemotoran, di mana-mana juga ada bahayanya.
“Namun jika kita berlatih dengan baik serta mendapat tunjuk ajar dari golongan profesional, mungkin kemalangan itu dapat dielakkan Insya-Allah,” katanya

Sedang sibuk menjalani penggambaran filem Bikers Kental arahan Helmi Yusof, Zizan juga menjelaskan bahawa dia sangat bersyukur dengan tahap kesihatannya yang berunsur pulih. Walaupun beberapa bulan lau dia terlantar sakit akibat serangan radang otot namun kini keadaannya sudah stabil untuk meneruskan kerjaya seninya seperti biasa.
“Melihat kepada keadaan saya yang sudah pulih saya mengambil keputusan untuk kembali ke set penggambaran.

“Bagaimanapun saya sangat bernasib baik untuk dijaga dengan rapi pihak produksi yang sangat mengambil berat akan keadaan kesihatan saya kini,” katanya yang bakal ke Thailand untuk menjalani penggambaran filem tersebut tidak lama lagi.


- Posted using BlogPress from my iPad

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”