Wednesday 12 December 2012

Tempoh 14 hari tarik balik fitnah


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Anak Peneroka FELDA (ANAK), Mazlan Aliman, akhbar Harakah dan Suara Keadilan diberi tempoh 14 hari untuk menarik balik kenyataan fitnah terhadap FELDA, yang dituduh menjual minyak sawit kepada Israel.

Malah, Mazlan dan kedua-dua akhbar lidah rasmi pembangkang itu juga perlu memohon maaf dan memberi pampasan setimpal kepada FELDA bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka.

Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Samad (gambar), berkata notis tuntutan berkenaan sudah dihantar kepada pihak terbabit menerusi peguam Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, semalam dan kelmarin.
Selain Mazlan, katanya, notis tuntutan dihantar kepada penulis, pengarang, ketua pengarang, penerbit dan pencetak akhbar Harakah.

Jatuh imej FELDA

Beliau berkata, tindakan sama juga diambil terhadap PKR yang bertanggungjawab menerbitkan Suara Keadilan.

“Tuduhan fitnah ini menjatuhkan imej FELDA sebagai konglomerat antarabangsa. Jika mereka gagal berbuat demikian, FELDA akan mengarahkan peguam meneruskan tindakan undang-undang terhadap mereka selepas tamat tempoh 14 hari yang diberikan ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Isa merujuk kepada laporan muka depan akhbar Suara Keadilan pada 27 November bertajuk ‘Najib Mesra Israel’ dan muka depan akhbar Harakah milik PAS, bertajuk ‘Minyak Sawit Jual Ke Israel’ diterbitkan pada 26 hingga 29 November lalu.

Laporan itu mendakwa Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menerusi anak syarikatnya, Felda Iffco Oil Products menjual minyak sawit kepada syarikat Israel, termasuk Bunge Agribusiness Singapore Private Limited.

Bagaimanapun, Bunge Agribusiness Singapore Private Limited bukan syarikat Israel, sebaliknya anak syarikat senaraian awam di Amerika Syarikat, manakala invois didakwa sebagai bukti dalam laporan berita itu bukan invois berkaitan sawit, sebaliknya getah.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”