BERSESAK-SESAK…Keadaan warga Indonesia yang ditahan di rumah transit.
JOHOR BAHRU – Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor menahan 42 warga asing termasuk seorang wanita dan bayi berusia setahun dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 7, Jalan Skudai, semalam.
Serbuan kira-kira jam 1 pagi disertai 20 anggota itu diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Sapian Kamarudin.
Ketua Penyelaras Operasi 6P Bersepadu Imigresen negeri, Masri Adul berkata, serbuan itu dilakukan hasil aduan awam dan risikan selama seminggu di lokasi.Menurutnya, rumah terbabit didakwa menjadi lokasi transit sementara untuk warga Indonesia
pulang ke negara asal mereka melalui jalan tikus di Sungai Tiram dan perairan Pengerang.
“Semasa serbuan, kebanyakan mereka sedang duduk dalam keadaan bersempit-sempit kerana keadaan rumah agak kecil.
“Ada antara mereka dalam keadaan lemah kerana kekurangan makanan berikutan berada di rumah terbabit lebih seminggu sementara menanti penghantaran ke lokasi jalan tikus yang diuruskan tekong.
“Tekong ini pula terdiri daripada warga Indonesia sendiri dengan mengenakan kadar bayaran antara RM500 hingga RM1,000,” katanya, semalam.
Masri berkata, kebanyakan warga Indonesia itu datang dari Kuala Lumpur, Pahang dan Johor Bahru dengan menaiki bas serta teksi ke Larkin Sentral sebelum dihantar ke rumah transit sementara.
Katanya, kelewatan penghantar antaranya berpunca daripada penguatkuasaan berterusan agensi terlibat menyebabkan tekong merasa tidak selamat.
“Mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta imigresen 1959/63 berikutan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Kesemua yang ditahan berusia antara setahun hingga 47 tahun dan mereka dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas untuk tindakan lanjut,” katanya – Sinar Harian
No comments:
Post a Comment