Wednesday, 27 June 2012

Jangan ‘Manipulasikan’ Hubungan Saya Dengan Aaron, Kata Zed Zaidi



Jika kita dengar nama Zed Zaidi, pasti ramai yang akan mengaitkan dirinya dengan Aaron Aziz.
Mana tidaknya, nama Zed Zaidi tercanang selepas lantang mempertikaikan kebanjiran artis luar termasuk kemenangan Aaron Aziz sewaktu Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang lalu.
Adakah tindakan Zed Zaidi itu bersifat menyeluruh atas nama Timbalan Presiden Seniman pada ketika itu atau ia merupakan serangan peribadi?
MyNewsHub.my telah menghubungi Zed Zaidi hari ini bagi mendapatkan penjelasan berkenaan isu tersebut.
” Ramai yang tak faham tanggungjawab dan kerjaya. Saya Timbalan Presiden waktu itu dan itu tugas saya.
” Saya tak sebut pun nama Aaron Aziz, saya memberi kenyataan umum (artis luar negara), tapi banyak pihak memanipulasikan kenyataan saya,” kata Zed Zaidi.
Selain itu, katanya, ada beberapa pihak terutama blog-blog yang cuba mensensasikan dengan memanipulasikan isu tersebut semata-mata untuk mendapat rating yang tinggi.
Jelasnya, dia tidak mempunyai sebarang isu kerja mahupun masalah peribadi terhadap Aaron Aziz.
” Begitu juga dalam hal PR, saya ucapkan tahniah pada Aaron selepas mendapat status penduduk tetap di Malaysia.
” Saya dan Aaron memang tiada masalah. Kami pernah ke Singapura untuk mempromosikan drama Habil Qabil lakonan kami bersama,” jelas Zed Zaidi.
Ujarnya lagi, dia hanya memperjuangkan periuk nasi artis tempatan kerana dia merupakan pemimpin di dalam persatuan.
Pada masa yang sama, Zed Zaidi turut beranggapan yang segala berita negatif yang mengaitkan dirinya dengan Aaron adalah rencah sebagai selebriti dan ‘public figure’.
Namun, rasa kecewanya turut diluahkan kepada sesetengah ‘blogger’ apabila ramai antara mereka yang ghairah untuk menjadi wartawan tetapi tidak mengamalkan etika kewartawanan.
” Mereka (blogger) ini laju, sekali ‘click’ terus boleh dapatkan berita. Saya senang dengan mereka.
” Tak salah untuk menyampaikan atau melaporkan sesuatu, tapi kita ada undang-undang dan garis panduan,” jelas Zed Zaidi.
Menurutnya, dia memohon agar blogger yang ghairah untuk menulis sesuatu isu supaya merujuk panduan serta undang-undang yang berkaitan menerusi Portal Rasmi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.
Bagi Zed Zaidi, dia tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap blogger yang memanipulasikan serta mensensasikan kenyataannya selagi ia tidak menjejaskan karier serta keluarganya.
Presiden Seniman seterusnya menegaskan, dia akan terus memperjuangkan apa sahaja isu yang berkaitan artis-artis tempatan sebaik mungkin.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”