Monday, 24 June 2013

Kerajaan Selangor Edar Topeng Muka Kepada Orang Ramai


SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan Selangor akan mengedarkan topeng muka kepada orang ramai berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk di Selangor kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Exco Kesihatan Dr Daroyah Alwi sudah diarahkan untuk mengedarkan topeng-topeng tersebut sebagai langkah keselamatan selepas berikutan  Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berada pada paras tidak sihat.

“Hadkan aktiviti luar rumah dan lebihkan minum air bagi mengelak  kesan akibat pendedahan secara berterusan kepada jerebu seperti sukar bernafas, mata pedih dan berair, kegatalan pada kulit dan tekak serta sesak nafas.

“Sentiasa memakai topeng muka ketika berada di luar atau tempat terbuka,” kata Abdul Khalid di dalam satu kenyataan media di sini.

Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan semua sekolah di Selangor ditutup pada hari Isnin dan Kerajaan Negeri akan mencadangkan agar sekolah hanya dibuka sehingga IPU bertambah baik dan selamat kepada pelajar.

Abdul Khalid turut menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan kesihatan rakyat terpelihara.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar, Elizabeth Wong ketika ditemui TVSelangor memberitahu, Kerajaan Negeri akan mengedarkan 60,000 topeng muka bermula awal minggu ini dan kemungkinan akan ditambah berdasarkan keadaan semasa.

Topeng muka tersebut akan diedarkan di sekolah, tempat awam seperti plaza tol, laluan motorsikal dan lain-lain.

Topeng muka juga akan diagihkan kepada ketua-ketua kampung, Ahli Majlis dan wakil rakyat untuk diedarkan kepada penduduk di kawasan masing-masing khususnya kanak-kanak dan warga emas.

Menurut Elizabeth lagi, bacaan IPU di Selangor sehingga jam 11.00 pagi tadi sudah menjangkau lebih 100 dan dijangka terus meningkat disebabkan pembakaran terbuka di Sumatera, Indonesia.

“Kalau kita lihat indikasi tapak-tapak hotspot di Pulau Sumatera Indonesia dan juga arah angin sedang bertiup, saya tidak jangka keadaan jerebu khasnya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia boleh bertambah baik pada masa terdekat ini.

“Jadi lebih baik kalau penduduk-penduduk di Selangor bersiap sedia menghadapi keadaan jerebu yang boleh dikatakan lebih teruk dari tahun-tahun sebelum ini,” kata Elizabeth lagi.

Elizabeth turut mengulangi pendirian Kerajaan Negeri yang sama sekali tidak akan bertolenrasi terhadap mana-mana pihak yang membuat pembakaran terbuka.

“Kerajaan Negeri mengamalkan sifar tolenrasi terhadap mana-mana pihak yang membuat pembakaran terbuka, kita boleh rampas tanah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan failkan kes di mahkamah.”

Semua sekolah di KL, Selangor diarah tutup



KUALA LUMPUR 23 Jun - Semua sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor akan ditutup esok seperti yang dinasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel.

Palanivel berkata, beliau akan meminta Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh mengambil tindakan sewajarnya.

"Situasi jerebu semakin teruk pada 5 petang dan sekolah diarah tutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana kualiti udara yang buruk akan memberi kesan terhadap kesihatan pelajar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka berada dalam rumah dan memakai topeng jika mereka perlu keluar.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar, yang diisytihar sebagai kawasan darurat, mencatat sedikit penurunan dengan bacaan 690 pada 11 pagi tadi berbanding 746 empat jam sebelumnya.

IPU bagi Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka, yang sebelum ini masing-masing mencatat bacaan di tahap bahaya 357 dan 334, meningkat ke 415 dan 428.

Negeri lain yang mempunyai IPU tidak sihat termasuk ibu negara, Putrajaya, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor manakala dua kawasan yang dikategori sebagai mempunyai kualiti udara sihat ialah Sandakan dan Tawau di Sabah. - BERNAMA

© Utusan Melayu (M) Bhd
OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”