Thursday 14 March 2013

12 Kereta Kebal, Helikopter Tentera Akan Tiba Di Lahad Datu


LAHAD DATU: Pasukan keselamatan akan menambah aset dan anggota untuk menggempur pengganas yang menceroboh negara di Kampung Tanjung Batu dan Sungai Nyamuk, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu, sejak 12 Feb lepas.


Malah, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memberi gambaran operasi daulat yang memasuki hari kesembilan, berada di penghujungnya dengan tumpuan menjejaki saki-baki pengganas yang kini bergerak dalam kumpulan kecil.

Beliau berkata 12 kereta kebal perisai berantai, beberapa helikopter Pasukan Udara Tentera Darat dan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia akan tiba esok di sini secara berperingkat.

Zulkifeli berkata langkah menguatkan pertahanan dan kawalan itu bertujuan menutup terus laluan kepada musuh daripada menceroboh ke negara ini sama ada di laut dan di darat.

“Pertambahan ini untuk meyakinkan rakyat bahawa kami mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk menewaskan musuh,” katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata beliau telah mengarahkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dan semua ketua polis daerah menambah bilangan anggota polis dan mewujudkan pos kawalan di kawasan sekitar Felda Sahabat dan kawasan operasi.

Beliau berkata pos kawalan itu juga melibatkan kawasan dari Lahad Datu ke Felda Sahabat, laluan pengganas dan kawasan penempatan awam bagi menambah keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan.

Beliau berkata polis akan memanfaatkan sumber manusia dalam menambah bilangan secara berperingkat dengan menggunakan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Narkotik dan lain-lain jabatan.

Mengenai pertempuran di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu semalam yang mengorbankan seorang anggota tentera, Panglima Angkatan Tentera berkata empat musuh ditembak mati dalam kejadian itu.

“Semalam pasukan keselamatan menemui dua mayat musuh dan dalam operasi penggeledahan pagi ini, dua lagi mayat musuh ditemui dalam kawasan Sungai Nyamuk,” katanya.

Zulkifeli berkata pasukan keselamatan turut menemui senapang panjang M1 Garand dan sepucuk pistol Colt.45, yang dipercayai digunakan musuh untuk menembak anggota keselamatan yang gugur semalam. – BERNAMA
OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”