FOKUS Bersih sama ada edisi 1.0, 2.0 dan juga 3.0 adalah menuntut
keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam sistem pengurusan dan
pengendalian pilihanraya negara kita, ekoran terlalu banyak kesangsian,
kekeliruan serta ruang yang terdedah kepada manipulasi dalam sistem
peraturan, pengurusan dan pengendaliannya.
Bertolak dari Daftar
Pemilih yang tidak bersih malah masih dikotori dan berlumut dengan
senarai pengundi yang tidak layak mengundi serta beberapa kekeliruan
yang perlu kepada pemurnian awam oleh pihak SPR.
Pelbagai
peraturan dan undang-undang pilihanraya yang tidak konsisten, membuka
peluang berlakunya penyelewengan dan manipulasi. Media yang tidak
seimbang dan berat sebelah, dilagang pula dengan pelbagai fitnah yang
jijik dan memualkan.
Maka pihak Bersih telah menganjurkan
pelbagai aktiviti seperti laporan ke Suhakam, laporan PDRM, Laporan
SPRM, memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Himpunan Aman.
Malangnya, sehingga kini pihak kerajaan dan SPR masih tidak memenuhi tuntutan Bersih tersebut.
Kerajaan
Umno dan BN sebaliknya mendakwa Bersih menganjurkan keganasan, rusuhan
dan sebagainya. Lalu mereka menempelak usaha suci Bersih dengan
pelbagai tindakan seperti menggunakan FRU untuk melepaskan tear gas dan
air kimia, PDRM untuk tangkap dan belasah, DBKL untuk menaksirkan jumlah
timbunan sampah, Majlis Fatwa bagi mengharamkan himpunan Bersih, media
arus perdana supaya memutar alam menjadi separa realiti.
Kini kedengaran pelbagai pihak bercakap mengenai edisi berikut bagi kelangsungan tuntutan Bersih supaya Bersih 4.0 direalisasikan sehingga kerajaan Umno dan BN akur tuntutan rakyat.
(Bersih 3.0: Duduk bantah)
Kerana pilihanraya umum tidak boleh diadakan atau disertai dalam keadaan ia tiada jaminan dapat dilaksanakan dengan adil, telus dan bersih dari sebarang penyelewengan.
Sementara hari ini dan saya
percaya ia akan terus berlangsung ke hari pilihanraya, mereka
memburukkan Bersih 3.0 kononnya ganas lalu membina persepsi buruk
masyarakat terhadap Bersih sedang pihak Bersih tidak diberi ruang serupa
melalui televisyen dan media arus perdana yang lain untuk menjawab dan
memberi penjelasan.
Maka saya mencadangkan agar Bersih 4.0 ini direalisasikan melalui format baru pula iaitu Duduk dan Debat.
Sekali
lagi saya cadangkan panelnya ialah terdiri dari Presiden Pas Datuk
Seri Abdul Hadi Awang dengan YAB Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun
Abdul Razak. Seluruh rakyat dikerah hadir secara aman untuk berhimpun di
Dataran Merdeka.
Saya menegaskan demikian melalui cadangan Duduk
dan Debat adalah sesuai dengan iklim politik baru yang hendak kita bawa
iaitu berteraskan kekuatan hujjah bukan hujah kekuatan.
Saya
harap pihak kerajaan dapat menerima cadangan ini dengan baik dan terbuka
jika mereka juga benar mahukan keadilan, ketelusan dan kesaksamaan pula
aktiviti itu berlangsung dalam suasana aman.
Ia pastinya akan
menjadi rekod sejarah. Masa depan negara akan dibentuk dan dibina
melalui kerajaan yang bakal dipilih oleh rakyat melalui penerimaan
terhadap hujah yang dikemukakan, bukan sokongan yang dipaksa dengan
cota, tear gas dan air kimia.
Iklim politik baru mesti dibina
segera oleh kedua-dua parti komponen besar negara iaitu Pakatan Rakyat
dan Barisan Nasional. Politik berteraskan hujah dan hikmah. Bukan
politik tangkap dan belasah.
Sebaliknya jua ke arah politik
rasional, lapang dada dan kasih sayang tanpa permusuhan dan kebencian
sesama agama dan bangsa yang ditanam melalui provokasi dan doktrinisasi
yang negatif.
---------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.