Tuesday, 12 March 2013

Bukan artis murahan



Kehadirannya dalam dunia seni pernah dipertikaikan apabila dianggap sebagai menambahkan lagi bilangan artis yang bersandarkan pada publisiti murahan semata-mata.

Jika disorot kembali kemunculan anak dara penyanyi veteran, Rohana Jalil ini, semuanya berkisar kepada kisah cinta, ditaja VIP dan dakwaan menyuntik bibir agar kelihatan lebih seksi.
Walaupun cerita itu dinafikan empunya badan, namun ia terus membelenggu Kilafairy sehingga dia bangkit membuktikan dirinya juga punya bakat besar untuk dipertaruhkan dalam industri. Sebagai bukti, drama Saiful Nita yang disiarkan di TV3 tahun lalu menjadi titik tolak untuknya menepis dakwaan dirinya sekadar artis picisan.

Lakonannya sebagai Nita yang terheret dalam pelbagai masalah selepas dipaksa kahwin dikira membanggakan dan mendapat pujian ramai. Kejayaan itu sekali gus membenamkan pandangan skeptikal khalayak terhadap artis sepertinya.

Mengulas lanjut, Kilafairy atau lebih akrab disapa sebagai Kila berkata, apabila mengambil keputusan menceburkan diri dalam bidang seni, dia bukanlah main-main atau hanya mengejar glamor.

Gosip lumrah hidup artis

“Saya faham ramai yang mempunyai pandangan sebegitu kerana melihat dan membaca pelbagai gosip terutama membabitkan artis muda yang semakin ramai hari ini. Percayalah, tidak semua mengharapkan publisiti sebegitu walaupun ada yang menganggap itulah jalan mudah untuk popular.
“Namun, mengenangkan inilah jalan yang mereka pilih, mahu atau tidak, mereka harus berdepan gosip seperti itu. Sebagai cara untuk mengelakkan diri daripada terus dihimpit cerita kontroversi, kita kena bijak untuk mengelak tempias sedemikian. Apa yang saya buat sekarang, saya akan tolak semua karakter yang mahu saya memegang watak gedik dan penggoda kerana saya tak mahu dikaitkan dengan karakter seperti itu lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 di Holiday Villa Hotel & Suites, Subang baru-baru ini.

Dia tidak lagi mahu membawakan watak sebegitu kerana tidak ingin dilabel stereotype, selain mendengar nasihat ibunya sendiri.

Menyanyi di malam kemuncak ABPBH

Pada malam kemuncak ABPBH nanti, pemilik nama Syakila Nisa Jahangir Khan akan mempamerkan kebolehannya menyanyi bersama beberapa artis remaja lain.

Terlanjur bercakap soal nyanyian, gadis berusia 20 tahun ini sudah pun muncul dengan single kedua berjudul Pasti, yang kini rancak diputarkan di corong radio. Meskipun sebelum ini dia dikenali sebagai penyanyi yang mampu membawakan lagu Bollywood dengan baik, namun untuk single terbaru, dia mencuba rentak soul.

“Ramai juga yang hairan kenapa saya tak rakamkan lagu Bollywood? Kalau ada yang tak tahu, irama soul ialah muzik kegemaran saya. Memang dari dulu saya teringin untuk membawakan lagu berjiwa seperti ini. Kini tiba masanya saya mempromosikan lagu ini selepas selesai menjalani penggambaran sebuah drama untuk siaran RTM.

“Saya memang tak suka buat dua tiga kerja dalam satu masa," katanya.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”