Monday, 25 March 2013
Gila Gila Remaja 2 ala filem Bollywood
SEKITAR 1985, filem Gila Gila Remaja arahan Allahyarham Hussein Abu Hassan, mencetuskan fenomena dengan mengangkat kisah remaja.
Filem mengisahkan remaja nakal, Azroy Azlan jatuh cinta pada seorang gadis pelajar baru bernama Suziana (Rehana Yassin) atau lebih mesra dengan panggilan Suzi, masih kekal dalam ingatan penonton sehingga kini.
Dek filem itu jugalah, nama-nama seperti Faizal Hussien dan Rosyam Nor mula menjadi perhatian dan popular.
Justeru, kerana fenomena dan populariti filem itu, ia telah menggerakkan V Nagaraj, yang sebelum ini bergelar Penerbit Eksekutif filem Gila Gila Remaja untuk menghidupkan kembali Gila Gila Remaja 2.
Bertindak selaku pengarah dan penerbit, Naga mempertaruhkan pelakon baru, sama seperti pembikinan pertama seperti Hairul Azreen, Faralyna Idris, Hanis Kamal, Taiyuddin Bakar serta disokong oleh pelakon-pelakon berpengalaman seperti Fizz Fairuz dan Satiya di samping penampilan istimewa Faizal Hussein.
Filem yang menelan belanja hampir RM1.4 juta ini mengambil masa 28 hari untuk disiapkan ini membawa penonton mengikuti sekumpulan remaja di Malaysia yang sedang menghadapi cabaran dari sudut aksi, komedi, hubungan cinta dan keluarga. Hairul Azreen memainkan watak Afiq yang berasal dari keluarga kaya dan minat perlumbaan motosikal serta gemar menari.
Pada masa sama, Faralyna Idris memegang watak Lisa, seorang gadis kampung miskin yang pendiam. Watak Haikal pula dimainkan oleh Fizz Fairuz, iaitu abang kepada Lisa yang bersifat tegas dan sentiasa mengawalnya.
Di kolej, Afiq jatuh hati terhadap Lisa, tetapi tidak disedari Lisa yang melihatnya sebagai kawan baik dan juga merupakan teman rapat Erna.
Kris yang menyukai Erna pula berasa iri hati terhadap persahabatan Erna dengan Afiq yang mengakibatkan saingan di antara mereka berdua.
Secara keseluruhan, filem ini lebih sesuai untuk generasi masa kini yang mungkin tidak pernah menonton Gila Gila Remaja sebelum ini.
Ini kerana, budaya, percakapan, konflik dan aksi dalam filem ini lebih menjurus kepada anak remaja kita pada hari ini.
Tidak sekadar memaparkan aksi pergaduhan dan lumba motor, filem ini juga turut menyelitkan beberapa babak romantis, dan pertandingan tarian di dalam filem ini.
Biarpun jalan cerita filem ini seolah-olah konflik filem Bollywood, namun pujian harus diberikan kepada lakonan mantap setiap pelakon di dalam filem ini.
Begitu juga dengan lakonan Fizz yang lari dari beberapa watak komedi yang pernah dibawakan sebelum ini.
Manakala penampilan Faralyna boleh dikategorikan ‘biasa-biasa’ sahaja berbanding Bella Daly yang berjaya menimbulkan rasa benci penonton kepadanya.
Bagi mengetahui keseluruhan jalan cerita filem ini dan kesudahan cinta terhalang Afiq dan Lisa, jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.-sinar harian
Labels:
Sensasi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment