KUALA
LUMPUR - Polis tidak akan mengambil tindakan terhadap sekumpulan
peniaga termasuk yang menjual burger di hadapan rumah Pengerusi Bersih
Datuk S. Ambiga di Bukit Damansara kerana mereka melakukannya di tempat
awam.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata peniaga
boleh berhimpun dan berniaga di hadapan rumah ketua badan bukan kerajaan
(NGO) itu, selagi mereka tidak mengganggu ketenteraman awam.
"Di bawah Akta Perhimpunan Aman 2011 (APA) semua orang boleh
berhimpun asalkan memberi notis dan maklumkan kepada polis di mana boleh
berhimpun. "Mereka (peniaga) berniaga di hadapan rumah dia (Ambiga)
dan mereka buat di 'public space', mereka tidak menganggu orang awam...
jadi tidak menjadi kesalahan kecuali jika mereka menimbulkan kekacauan
baru kita boleh mengambil tindakan," katanya kepada pemberita.
Khalid yang ditemui selepas melancarkan kempen derma darah peringkat
polis kontinjen Kuala Lumpur, ditanya sama ada polis akan bertindak
terhadap laporan polis yang dibuat Ambiga pada 10 Mei lepas, susulan
tindakan sekumpulan peniaga berhimpun dan berniaga di hadapan rumahnya.
Kumpulan peniaga itu termasuk seorang yang bertindak membuka gerai
burger, dilapor berbuat demikian sebagai tanda marah selepas mengalami
kerugian susulan perhimpunan bertukar ganas yang dianjurkan NGO pimpinan
Ambiga di ibu kota pada 28 April lepas.
Mengulas lanjut, Khalid turut mencadangkan agar Ambiga mengambil
tindakan saman terhadap peniaga burger terbabit jika tindakannya
mengganggu privasi. - Petikan: Bernama
No comments:
Post a Comment