PUTRAJAYA — Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian Perarakan Malam Flora Pelancongan Antarabangsa 1Malaysia bertema ”Keajaiban Waktu Malam” di Pesisiran Tasik Putrajaya, Presint 2 di sini malam tadi.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan timbalannya, Datuk Dr James Dawos Mamit serta Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Samsudin Osman.
Acara yang bermula hari ini hingga 8 Julai bakal menyaksikan keindahan 15 bot dalam perarakan bercahaya sejauh tiga kilometer di Tasik Putrajaya dari 8.30 malam hingga 10.30 malam, selain pertunjukan bunga api pada setiap malam.
Bot yang dihiasi pelbagai corak flora dan fauna, lampu bergemerlapan selain ikon organisasi dan negara peserta, melambangkan kepelbagaian budaya serta tradisi masing-masing. Peserta yang mengambil bahagian tahun ini ialah dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sarawak, Sabah, Terengganu, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Perbadanan Putrajaya dan wakil luar negara iaitu China dan Afrika.
bernama
- Posted using BlogPress from my iPad
No comments:
Post a Comment