Monday, 11 June 2012
Yakin Harimau menang kali ini
Pemain kebangsaan, Safee Sali dan rakan sepasukan menemui peminat-peminat di pekarangan Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam. Turut serta jurulatih K. Rajagobal dan Subahan.
SELAYANG – Datuk Seri Subahan Kamal berkata, skuad Harimau Malaya akan kembali mengaum dan membaham Singapura dalam perlawanan persahabatan kedua di Stadium Shah Alam, esok sekali gus akan menutup mulut pengkritik.
“Kami akan buktikan pengkritik silap. Ia (keputusan perlawanan Jumaat lalu) boleh dijadikan satu hikmah kerana saya percaya Stadium Shah Alam akan dibanjiri peminat kita yang pasti inginkan pasukan membenam Singapura,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Karnival Bola Sepak Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer dekat Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
Dalam pada itu, pengurus pasukan kebangsaan ini menegaskan, beliau cukup pantang apabila ada pihak yang mengatakan anak buahnya sudah semakin merosot terutama sejak seri 2-2 menentang Singapura dan terikat tanpa jaringan dengan Filipina dalam persahabatan sebelum ini.
“Melawan Singapura (di Stadium Jalan Besar) sepatutnya kita yang menang tetapi kerana beberapa isu seperti pengadilan dan kurang bertuah, kemenangan kita dirampas.
“Sebagai pengurus pasukan negara, saya tetap berpuas hati dengan prestasi pemain kita yang walaupun lawan mempunyai ramai pemain import, masih cuba memadamkan rekod lapan tahun Malaysia tidak menang di Singapura,” katanya.
Skuad Datuk K. Rajagobal mendahului 2-0 menerusi jaringan Azamuddin Akil dan Safiq Rahim dan nyaris menebus kekalahan Kelayakan Piala Dunia 5-3, tahun lalu sekiranya dapat mengekang gol penyamaan lawan pada minit ke-87 dan seminit terakhir masa kecederaan.
Sementara itu, Subahan memberitahu, selain memantapkan pasukan negara, pihaknya juga mahukan kesinambungan dan konsistensi sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir Sukan SEA dan Piala Suzuki AFF menjelang matlamat lebih besar layak ke Piala Asia 2015.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment