Wednesday 4 July 2012

Treler terjunam gara-gara elak lubang



Treler dinaiki dua beradik terjunam dari jejambat setinggi 10 meter di Jalan Ros Merah Utama, Taman Johor Jaya, semalam.

JOHOR BAHRU – Gara-gara cuba mengelak lubang, seorang pemandu cedera ringan dan kelindannya patah kaki kanan apabila treler dinaiki hilang kawalan, lalu terjunam dari jejambat setinggi 10 meter di Jalan Ros Merah Utama, Taman Johor Jaya, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 8.07 pagi itu, pemandu, V Ramu, 22, manakala adiknya, V Iswaran, 18, dalam perjalanan menghantar barang dari Melaka ke Pasir Gudang bernasib baik tidak mengalami kecederaan serius akibat kemalangan itu.
“Saya cuba untuk mengelak jalan berlubang dan disebabkan itu, saya gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas lalu melanggar pengadang jejambat berkenaan sebelum terjunam setinggi kira-kira 10 meter.
“Ketika itu, kami berasa cemas dan terbayang bakal berdepan dengan maut, namun kami bersyukur kerana masih terselamat walaupun adik patah kaki, selepas berjaya keluar daripada treler berkenaan saya terus menghubungi keluarga di Melaka.
Ramu berkata, akibat kemalangan berkenaan beliau mengalami kerugian kira-kira RM30,000 apabila treler yang dipandunya rosak teruk, selain perlu menanggung kos memperbaiki kerana perlindungan insurans hanya membabitkan pihak ketiga.
Sementara itu, bapa mangsa, P Veteveloo, 45, bergegas dari kediamannya di Melaka selepas menerima panggilan Ramu memaklumkan mengenai kemalangan terbabit, termasuk kecederaan yang dialami Iswaran.
“Saya bergegas ke tempat kejadian kerana risau terhadap keadaan mereka, namun bersyukur kerana kedua-dua anak saya selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba, Taman Johor Jaya, Azemi Abdullah berkata, pihaknya tiba ke lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian membabitkan enam anggota bagi mengalihkan treler berkenaan yang mempunyai muatan karung plastik.
“Disebabkan kemalangan itu, Jalan Ros Merah Utama ditutup daripada laluan trafik sekali gus menyebabkan kesesakan,” katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja mengalihkan kenderaan dan muatan selesai kira-kira 2.15 petang, manakala kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menerima rawatan.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”