Wednesday, 10 October 2012

Ramlah Ram Diugut Penggodam Facebook, Twitter




Penyanyi terkenal 80an kini trauma setelah dia diugut oleh penggodam laman sosial Facebook dan Twitternya. Mesej berbaur ugutan itu turut menyatakan akan membongkarkan perkara peribadi seperti gambar milik Ramlah Ram. Selain, itu artis lain seperti Lisa Surihani dan Fazuran juga turut diugut penggodam itu.


Facebook Ramlah Ram dihack

PETALING JAYA: Penjenayah siber berjaya menggodam beberapa laman sosial milik penyanyi Ramlah Ram sehingga meletakkan status serta mesej berbaur ugutan terhadap penyanyi itu dan juga beberapa artis lain.
Presiden Kelab Peminat Ramlah Ram Group (RRG), Idmiszal Soaid berkata, dia menyedari perkara itu pada pagi Sabtu lalu apabila terbaca di sebuah blog yang mengatakan laman Twitter milik Ramlah digodam.
“Tidak lama kemudian iaitu pada pukul 3 petang hari yang sama penggodam itu menghantar mesej berbaur ugutan dalam Twitter Ramlah yang ingin memusnahkan semua akaun laman sosial milik Ramlah termasuklah Facebook, E-mel dan akaun YouTube.



“Lebih menakutkan apabila penggodam mengugut (di Facebook) mahu menggodam telefon bimbit serta komputer riba Ramlah bertujuan untuk mendedahkan foto-foto peribadi miliknya,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini petang Selasa.

Tambah Idmiszal, Ramlah yang baru pulang dari Terengganu pada malam Sabtu lalu terus membuat laporan polis di Balai Polis Kajang kira-kira pukul 1 pagi (Ahad) selepas mendapat tahu kejadian tersebut.
Malah, sebagai langkah keselamatan, Ramlah bertindak menghubungi beberapa bank bagi menyekat akaun-akaunnya agar segala urusan dihentikan buat sementara waktu.


Status menerusi akaun Twitter ini bukan tulisan Ramlah Ram kerana ia sudah dicerobohi individu tidak bertanggungjawab.

“Selain Ramlah, saya juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Kajang dan dua orang ahli RRG membuat laporan serupa di Taman Pelangi, Johor kerana akaun laman sosial kami juga digodam.
“Malah penggodam itu telah menghantar mesej kepada saya dengan mengatakan dia tidak sukakan sebarang promosi yang berkaitan Ramlah. Peliknya, orang yang menghantar mesej itu daripada seorang lelaki negara luar.
“Dia siap ugut mahu menggodam laman sosial artis-artis lain pula seperti Azwan Ali, Lisa Surihani dan Fazura,” ujarnya.
Ditanya keadaan Ramlah, Idmiszal berkata, penyanyi itu menjadi fobia sehingga dia tidak berani untuk menjawab sebarang panggilan telefon.
“Dia masih lagi fobia tambahan pula pelbagai ugutan yang diterima. Begitu juga dengan kami, takut juga apabila ada yang cuba dengki mahu menjatuhkan reputasi Ramlah.
“Tambah pula dia album barunya iaitu Aspirasi Cinta akan dipasarkan pada Jumaat ini yang diterbitkan sendiri oleh RRG. Saya takut ada yang tidak senang hati,” ujarnya.
Sementara itu Ramlah Ram yang dihubungi tidak menjawab panggilan telefon bagi mengulas kejadian tersebut.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”