Thursday 29 November 2012

Tiada wang kebumi ibu




SHAH ALAM: Hanya rasa syukur dapat diucapkan seorang pemuda keturunan Iban apabila kemelut untuk menguruskan jenazah ibunya selesai selepas terpaksa ‘tebal muka’ meminta bantuan daripada pelbagai pihak kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk melakukan urusan pengebumian.

Zacchaus Anak Ekek, 30, berkata, mendiang ibunya, Siah Anak Ringit, 60-an, meninggal dunia 15 November lalu akibat pendarahan otak dan perlu dibawa pulang ke Sibu, Sarawak untuk urusan pengebumian selepas disahkan meninggal dunia namun hasratnya itu terpaksa ditangguhkan.


Atas rasa simpati sesama manusia, Penyelaras Barisan Nasional Bahagian (BN) Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M Zain, sudi menanggung kos pengebumian ibu Zacchaus yang berjumlah RM5,000 untuk dihantar pulang ke kampung halamannya. Menurut Zacchaus, jenazah ibunya terpaksa diletakkan sementara di sebuah syarikat pengurusan mayat, manakala dia dan adiknya berusaha mendapatkan wang untuk menguruskan proses pengebumian.

“Dalam tempoh itu, kami masih tidak dapat mengumpul wang yang diperlukan iaitu RM5,000. Pelbagai cara kami gunakan termasuk memohon bantuan rakan-rakan dengan mengiklankannya di laman facebook, tetapi wang yang dikumpulkan tidak sampai RM1,000.


“Atas desakan rakan, kami turut meminta bantuan beberapa gereja berhampiran. Bagaimanapun, permohonan kami ditolak atas alasan wang kebajikan gereja berkenaan hanya diberikan kepada ahli kariah saja,” katanya ketika ditemui. Dia yang bekerja di sebuah pasar raya di sini kemudian menerima panggilan telefon daripada seorang ahli Pemuda Umno yang mengetahui masalah yang dihadapinya melalui facebook. Akhirnya, selepas lima hari jenazah ibunya ditempatkan di syarikat pengurusan mayat 20 November lalu, barulah dapat diterbangkan dan disemadikan di kampung halaman di Sibu selepas Ahmad Nawawi bersetuju menanggung segala kos pengebumian itu.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”