Friday 7 December 2012

Berfesyen Ikut Syariat



Adakah salah untuk kita berfesyen? Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya mengenakan sesuatu fesyen sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori kecantikan. Sesungguhnya Allah menyukai hamba-Nya yang menjaga keterampilan diri dan kecantikan. 

Daripada Abdullah Ibnu Masud, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun seberat zarah. Maka berkata seorang lelaki kepada Baginda: Sesungguhnya seseorang individu itu suka jika pakaiannya baik dan kasutnya juga baik. Balas Baginda SAW: Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong melenyapkan kebenaran dan kehinaan kepada manusia.” (Riwayat Imam Muslim) 

Rasulullah SAW tidak melarang seseorang manusia itu untuk memperagakan fesyen malah Baginda menerangkan Allah itu sifat-Nya cantik dan suka akan kecantikan. Namun Rasulullah SAW melarang jika seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong kepada masyarakat sekelilingnya. 

Walaupun kita diberikan kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna kita boleh memakai apa saja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tata susila. Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi seseorang Muslim mahupun Muslimah dalam berpakaian. 

Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam berfesyen ialah memastikan pakaian menutup aurat. Aurat dalam berpakaian ialah kawasan anggota yang perlu dijaga dan ditutup oleh setiap orang Islam daripada dilihat orang lain. 

Tujuan utama diwajibkan menutup aurat ke atas umat Islam semata-mata untuk memelihara dirinya dan orang lain daripada perkara buruk yang menjerumuskan mereka ke lembah dosa. Aurat bagi lelaki antara kawasan pusat dan lututnya, manakala bagi wanita pula auratnya ketika bersama dengan bukan mahram adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua-dua pergelangan tangannya. 

Antara adab ketika berpakaian adalah memakai pakaian tidak ketat yang menampakkan bentuk tubuh terutama kepada kaum wanita. 
Dalam hal ini Nabi SAW telah menyatakan seperti mana diriwayatkan Imam Muslim dalam sahihnya antara golongan akan diazab Allah dalam api neraka adalah perempuan yang disebut ‘Kaasiyat Aariyat’ iaitu wanita yang memakai pakaian mendedahkan sebahagian bentuk tubuhnya. 

Ulama terkenal, Sheikh Muhammad Salih al-Uthaimin ketika mengulas hadis ini menyatakan yang dimaksudkan golongan ini antaranya perempuan yang menampakkan bentuk tubuh badan sama ada dengan pakaian ketat, jarang mahupun terdedah sebahagian tubuh badannya. 

Bagi kaum lelaki juga mereka tidak digalakkan memakai pakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh pada bahagian aurat mereka dan hukumnya adalah makruh seperti diterangkan Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’. 

Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada terikut-ikut budaya negatif masyarakat bukan Islam. Hal ini termasuklah ketika berpakaian dan memperagakan sesuatu fesyen. Nabi SAW melarang terikut-ikut budaya luar yang kadangkala mampu menggugat akidah dan akhlak umat Islam terutama dalam kalangan pemuda-pemudi. 

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang terikut-ikut dengan gaya hidup sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan itu.” (Direkodkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi) 

Hadis ini melarang umat Islam terikut-ikut budaya luar yang bersifat negatif termasuklah dalam berpakaian. Antara ikutan negatif yang berlaku seperti memakai pakaian mempunyai gambar salib, bertindik pada anggota badan tertentu bagi kaum lelaki, melukis tatu dan lain-lain. 

Inilah realiti umat Islam akhir zaman seperti dinyatakan Nabi SAW: “Sesungguhnya kamu akan mengikuti gaya hidup masyarakat selepas kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak sekali pun nescaya kamu akan memasukinya.” (Hadis muttafaq alaih) 

Sesungguhnya Islam melarang umatnya menyerupai golongan berlainan jantina termasuklah dalam memperagakan fesyen. Hukum lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki adalah haram kerana ia berlawanan fitrah asal penciptaan manusia dalam tingkah laku dan pemakaian. 

Contohnya kaum lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian yang menunjukkan ciri-ciri wanita seperti memakai pakaian diperbuat daripada sutera. Begitulah juga mereka ditegah daripada memperagakan tubuh badan dengan aksesori wanita seperti rantai emas, pewarna bibir dan pewarna kuku. 

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita memakai pakaian lelaki.” (Direkodkan oleh Abu Daud, al-Nasaie dan Ahmad) 

Nabi SAW menganjurkan kita bersederhana dalam segala perkara termasuk ketika memperagakan sesuatu fesyen. Kita perlu mengambil berat dalam memilih sesuatu fesyen yang ingin diketengahkan. 

Antara larangan Nabi SAW dalam berpakaian ialah memakai pakaian yang disebut sebagai pakaian ‘syuhrah’ iaitu pakaian yang keterlaluan bentuk dan potongannya berbanding pakaian kebiasaan. 

Hal ini untuk mengelakkan daripada timbulnya perasaan sombong dalam jiwa pemakai. Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang memakai pakaian ‘syuhrah’ di dunia maka Allah SWT akan memakaikannya dengan pakaian yang hina pada hari akhirat.” (Direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah) 

Islam tidak melarang seseorang untuk berfesyen namun perlulah mengikut seperti yang digariskan syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan sederhana. Bagaimanakah niat kita berfesyen? Kita sewajibnya menghiaskan fesyen yang diharuskan syarak dengan penuh ketakwaan seperti firman Allah SWT: “Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.”

1 comment:

Anna said...

insyaallah, sunnah nabi saw sepatutnya perlu dititikberatkan

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”