Friday 4 January 2013

Biar betul?tukar presiden FAM tak jamin kejayaan mendadak skuad kebangsaan



Tengku Abdullah anggap tukar presiden FAM tak jamin kejayaan mendadak skuad kebangsaan

Kuantan: Seandainya kepimpinan sedia ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu ditukar kepada yang baru, seorang pengganti yang baik dan mampu membawa kejayaan perlu dicari, kata Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, langkah merombak pengurusan tertinggi badan induk itu juga bukan satu jaminan skuad bola sepak negara akan memenangi semua perlawanan.
“Bila pasukan negara kalah, macam-macam (FAM) kena tuduh, bila menang tiada pula yang hendak kaitkan semua ini (lepaskan jawatan).

“Malah, desakan pun tidak seharusnya bertalu-talu, harus lebih praktikal, kalau nak tukar yang baru kena cari pengganti yang baik yang boleh membawa kejayaan,” katanya selepas melawat kediaman mangsa banjir di Kampung Sungai Galing, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan sekumpulan penyokong tegar bola sepak negara yang meminta pengurusan tertinggi FAM dirombak dan presidennya, Sultan Ahmad Shah meletak jawatan.

Jurucakapnya, Al Fadli Awaludin, berkata pengurusan tertinggi FAM yang tidak pernah bertukar sejak 28 tahun lalu perlu diberi nafas baru bagi meletakkan semula Malaysia dalam peta bola sepak dunia.

Perkara itu turut menjadi perhatian beberapa bekas pemain kebangsaan yang meluahkan perasaan sama dengan berharap berlaku transformasi dalam pengurusan bola sepak Malaysia.
Tengku Abdullah mengakui tindakan sekumpulan penyokong Harimau Malaya mendesak supaya presiden FAM meletak jawatan adalah hak kumpulan terbabit untuk bersuara.

“Sebenarnya ini isu berprofil tinggi... itu hak dia (kelab penyokong) nak bersuara dan juga hak presiden untuk jawab, saya tidak boleh jawab apa-apa.

“Tidak dinafikan satu hari nanti kita semua kena tamatkan (berundur) secara baik atau secara tidak baik... termasuklah saya kerana ‘nobody is indispensable’ (tiada yang tidak boleh diketepikan) dan perkara ini adalah lumrah,” katanya.

Tengku Abdullah berkata, akan tiba masa perubahan perlu dilakukan dan pasukan negara perlu bangkit untuk meneruskan perjuangan.

Mengenai pendekatan berdiam diri yang diambil Sultan Ahmad Shah berhubung isu itu, Tengku Mahkota Pahang itu bertitah adalah hak baginda untuk menjawabnya atau tidak kerana masing-masing ada kebebasan bersuara.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”