Friday 1 November 2013

Penyampai Berita, Saiful Nizam Bakal Tinggalkan TV3


PETALING JAYA: Selepas deejay radio Kumpulan Media Prima Berhad iaitu Faizal Ismail membuat keputusan mengejut untuk meninggalkan stesen radio Hot FM, pembaca berita Buletin Utama, TV3 iaitu Saiful Nizam Ismail bakal mengikut jejak serupa.

Sumber memberitahu mStar Onlie, Saiful Nizam, 31, akan mengetuai jabatan komunikasi korporat sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) dalam waktu terdekat.

“Saiful bakal meninggalkan TV3 selepas sebuah syarikat GLC menawarkannya satu jawatan di unit komunikasi untuk beliau ketuai berdasarkan kepada pengalaman luasnya mengendalikan media,” kata sumber itu.

Sementara itu Saiful Nizam yang dihubungi mStar Online pada Khamis enggan mengulas berhubung desas-desus tersebut.

Saiful berkata dia tidak bersedia untuk bercakap hal itu dan agak terkejut apabila ditanya mengenainya.

“Maaf... saya tidak bersedia untuk beri sebarang ulasan. Apa yang penting, saya masih lagi bekerja di TV3,” katanya.

Saiful Nizam yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Utara Malaysia mula menyertai TV3 sebagai wartawan penyiaran selepas menjadi finalis rancangan Malaysia Top Host pada tahun 2005.

Sepanjang kerjayanya di stesen televisyen itu, beliau banyak membuat liputan dalam dan luar negara termasuk menjadi pengacara Malaysia Hari Ini.

Saiful Nizam juga sering diberi peluang mengendalikan segmen-segmen penting seperti Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) dan juga laporan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga merupakan suami kepada juara rancangan Gadis Melayu musim pertama terbitan TV3, Khairul Noormaaidah Zali, 28, atau Aida.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”