Monday, 10 March 2014

MH370: Adakah jawapannya berada di Vietnam?


HO CHI MINH CITY - VIETNAM. Mata seluruh dunia kini bertumpu di perairan berdekatan selatan Vietnam, lokasi di mana pesawat Malaysia Airlines MH370 dilaporkan kali terakhir dapat dihubungi menara kawalan sebelum hilang tanpa berita.

Penantian mendebarkan yang kini masuk hari kedua masih kabur, dengan pelbagai teori dan spekulasi baru muncul setiap hari.

Ada yang mengaitkan kehilangan pesawat ini dengan serangan pengganas, dan pakar penerbangan melahirkan rasa hairan dan terkejut mengenai cara kehilangan MH370 yang dikatakan hampir tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan dunia.

Sehari selepas berita kehilangan itu, penulis menyusuri semula laluan digunakan MH370, untuk ke Vietnam bagi membuat liputan operasi mencari dan menyelamat di negara ini.

Selepas kira-kira sejam berlepas dari Kuala Lumpur, hari ini, seorang pramugara dalam penerbangan itu meminta penulis dan seorang rakan melihat ke luar tingkap, dan bertanyakan sama ada kami boleh melihat lautan di bawah.

"Dekat sinilah kapal terbang MAS terputus hubungan," katanya berdasarkan maklumat yang diberikan juruterbang kepadanya.

Katanya lagi, kami mungkin boleh melihat kapal-kapal (tentera) yang sedang membuat operasi mencari dan menyelamat di lautan di kawasan itu, tetapi kami sudah terlalu tinggi di udara.

Setibanya di Ho Chi Minh, pemandu teksi yang membawa penulis dan seorang lagi rakan media ke hotel bertanya sama ada kami berasal dari Malaysia.

Perkara pertama dikatakannya apabila kami menjawab ya adalah: "Kapal terbang Malaysia Airlines terhempas. Takut mendengar berita itu".

Dia menggunakan perkataan 'terhempas' kerana katanya berita di Vietnam melaporkan perkara itu.

Namun setakat ini, tiada pengesahan rasmi dari Malaysia atau mana-mana negara yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat bahawa pesawat itu terhempas.

Laksamana tentera laut Vietnam yang dikatakan membuat kenyataan bahawa pesawat itu terhempas pun kemudian menjelaskan beliau hanya maksudkan ada kemungkinan terhempas di laut berdasarkan laluan digunakan pesawat itu.

Tanpa kenyataan rasmi, kehilangan MH370 kekal misteri, dan jawapannya kini mungkin berada di Vietnam.

Sinar Harian akan membawakan perkembangan terkini dari Ca Mau, selatan Vietnam mengenai operasi mencari pesawat itu yang sedang dijalankan kerajaan dan tentera negara ini.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”