Thursday, 24 May 2012

Neelofa pernah berdepan gangguan seksual!




KUALA LUMPUR: Pantang melihat ada artis baru memiliki pakej lengkap sebagai wanita idaman, segelintir orang kenamaan (VIP), pengarah, penerbit dan promoter konsert berlumba-lumba menjerat artis terbabit dengan pelbagai umpan seperti kemewahan dan kejayaan segera dalam industri seni tanah air.

Dasar lelaki hidung belang, mereka tidak mampu menahan naluri seks luar biasa sebaik menyedari kehadiran artis baru berwajah cantik, kulit putih gebu dan badan menggiurkan, sekali gus giat pasang jerat.

Jika tersilap langkah, boleh tergadai maruah. Itu risiko dihadapi artis wanita, terutama artis baru ‘bergetah’ yang terdedah dengan gangguan seksual dalam meneruskan karier seni mereka.

Memang ada pepatah, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai, namun perkembangan negatif seperti itu sebenarnya tidak harus kekal dalam industri hiburan tanah air yang boleh mencerminkan imej tidak baik pada mata masyarakat.

Ikuti pengalaman Neelofa, Hanez Suraya, Nas Adila, Fiza Elite dan Ani Mayuni dengan mendapatkan akhbar Metro Ahad yang pernah berdepan gangguan seksual sepanjang karier mereka.

Hanya lima hingga 10 peratus artis yang mengalami gangguan seksual sejak terbabit dalam industri seni membuat laporan kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) biarpun jumlahnya dikhuatiri lebih ramai.

Timbalan Presidennya, Zed Zaidi berkata, pihaknya sentiasa memantau kejadian sebegitu dan tidak menafikan ia masih berlaku.


Katanya, kebanyakan kes membabitkan artis wanita yang baru mencuba nasib menjadi pelakon atau penyanyi yang diminta habuan seks oleh segelintir pengarah dan penerbit tidak bertanggungjawab.

“Kebanyakan mereka orang baru dalam industri. Ada di kalangan mereka terdesak mengejar cita-cita menjadi artis hingga sanggup menggadai maruah.


“Mereka (pengarah dan penerbit tertentu) pula ambil kesempatan dengan menawarkan watak dalam filem atau drama serta peluang merakamkan album, tetapi dengan syarat serahkan tubuh,” katanya yang juga Ketua Biro Seniman Muda kepada Metro Ahad.


Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil berkata, artis yang menjadi mangsa diminta segera membuat laporan polis, termasuk dengan Seniman, bagi memudahkan persatuan membuat tindakan selanjutnya.

Menurutnya, Seniman akan memberi bantuan yang difikirkan sesuai, termasuk memberi nasihat berkaitan undang-undang menerusi Penasihat Undang-Undang mereka.


“Mereka juga diminta hantarkan sekali surat aduan atau bukti, jika ada. Kalau tak boleh hantar surat, e-mel saja ke presidenseniman@gmail.com atau dzed.resources@yahoo.com. Ia hanya untuk rekod dan sekurang-kurangnya ada hitam putih.

“Saya tahu ada artis malu dan takut untuk buka mulut. Namun, kes begini perlu didedahkan untuk kebaikan semua pihak, khususnya artis itu sendiri. Setiap kes boleh jadi pengajaran untuk orang lain yang mahu mencuba nasib sebagai artis,” katanya.


Beliau berkata, perbuatan itu bukan saja menjejaskan nama baik industri hiburan pada mata masyarakat, malah turut merosakkan masa depan artis terbabit, lebih-lebih lagi jika individu itu memiliki gambar atau video lucah artis terbabit.


“Dunia hiburan kita bukan besar sangat. Pusing pusing, mereka akan bertemu kembali. Kadangkala jika artis itu bermasalah dengan mereka, diugut pula akan menyebarkan gambar atau video itu,” katanya.


Dalam pada itu, Zed berkata, Seniman mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam kes itu dan kini mengumpul bukti.


“Kita tahu siapa mereka. Buat masa ini kita mengumpul bukti sebelum tindakan diambil, termasuk melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya. - myMetro

Sumber Rujukan: Neelofa pernah berdepan gangguan seksual!

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”