Sunday, 17 June 2012

Esok Hari Bapa, Ingat Jasa & Budi


KUALA LUMPUR – Hari Bapa yang disambut esok merupakan hari anak-anak dan keluarga mengingati dan mengenang peranan, jasa serta budi seorang bapa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa termasuk mereka yang baru bergelar bapa.
“Bapa muda pun kita kena beri pengiktirafan atas sumbangan mereka yang mungkin kita kira sebagai potensi masa depan mereka membentuk generasi baru untuk menentukan kejayaan negara kita nanti, insya-Allah,” katanya dalam rakaman video temu bual khas sempena sambutan Hari Bapa 2012 yang dimuat naik dalam blog www.1malaysia.com.my di sini hari ini.
Dalam temu bual kira-kira 6 minit itu, Najib turut ditanya mengenai hubungannya dengan Allahyarham ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein yang disifatkan sebagai agak berbeza dengan keadaan sekarang.
“Saya lihat pada masa itu, ada rasa segan dan sangat menghormati emak bapa dan kalau kita nak buat sesuatu, nak beri satu pandangan pun kita fikir banyak kali sebab kita tak boleh merasakan bahawa sesuatu yang kita kata itu boleh…mungkin boleh mendatangkan satu perasaan tidak senang kepada ayahanda saya pada ketika itu.
“Tapi ini bukan bererti bahawa tidak ada rasa kasih sayang yang mendalam, memang ada. Dan saya masih ingat lagi waktu saya belajar di luar negara, kalau saya menulis surat, masa itu tidak ada e-mel dan tidak ada sms, tidak ada sosial media, terpaksa tulis surat melalui aerogram dan kita tunggu jawapan daripada ayahanda saya.
“Walaupun ayahanda saya ketika itu sangat sibuk sebagai Perdana Menteri, tetapi saya pasti dapat jawapan mungkin selang dua minggu ke, tapi jawapan pasti tiba,” katanya.
Najib berkata, Allahyarham Tun Razak juga merupakan seorang motivator yang sangat halus dan sering menggalakkan beliau dan adik-beradiknya untuk belajar bersungguh-sungguh supaya mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. – BERNAMA


No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”