Tuesday, 12 June 2012

Keistimewaan BMW 5 Series terbaru



Tiada perbezaan ketara pada varian terbaru BMW 520i yang diperkenalkan ke Malaysia, awal tahun ini.
BERTENTANGAN dengan persepsi sesetengah orang terhadap kereta buatan Eropah yang mewah, tidak semestinya bermakna ia menggunakan bahan api yang tinggi.

Dalam konteks ini, BMW yang berpusat di Jerman memberi tumpuan kepada aspek penjimatan minyak, seiring dengan sasaran menjadikan produknya lebih mesra alam sekitar menerusi strategi Efficient Dynamics BMW.

Awal tahun ini, BMW Group Malaysia memperkenalkan varian baru bagi BMW 5 Series yang dilengkapi dengan enjin petrol empat silinder terbaru beserta teknologi TwinPower Turbo BMW.

Enjin baru ini menampilkan enjin dua liter terbarunya dengan twin-scroll turbocaj, kawalan injap berubah-ubah Valvetronic dan kawalan camshaft berubah-ubah Double-Vanos yang memberi kuasa kepada BMW 520i dan BMW 528i M Sport yang kini menawarkan output lebih tinggi tetapi dengan penggunaan bahan api dan CO2 (pengeluaran asap) lebih rendah,

Nadi kepada BMW 520i adalah enjin baru yang memberi kuasa output 135kW atau 184 kuasa kuda. Ini bermakna ia boleh memecut 0 ke 100 kilometer sejam (kmj) dalam tempoh lapan saat dengan kelajuan tertingginya, 226 kmj.

Meskipun begitu garang, sedan eksekutif mewah ini hanya menggunakan 6.4 liter bagi setiap 100 km dan mengeluarkan hanya 149 gram asap setiap kilometer.

Sama seperti semua kenderaan BMW lain, varian baru 5 Series ini juga mengenengahkan inovasi EfficientDynamics seperti Penjanaan Semula Tenaga Brek, Kemudi Elektromekanikal dan transmisi automatik 8-kelajuan yang dipasang standard.

Namun, sebagai satu lagi langkah berani ke depan dalam mencapai matlamat kecekapan dan nikmat pemanduan tinggi, semua kereta BMW dipasang dengan fungsi butang Nyala/Matikan enjin, menjadikan BMW 5 Series satu-satunya kenderaan dalam segmennya yang menawarkan teknologi seumpamanya.
Selain itu, varian baru ini juga dipasang dengan ciri Kawalan Pengalaman Pemanduan – butangnya terletak di konsol tengah yang membolehkan pemandu menukar penetapan bagi pemacu kereta, enjin, kemudi, transmisi, sistem gantungan dan kawalan kilas.

Model tersebut juga dipasang dengan mod COMFORT+, COMFORT, SPORT, SPORT+ dan untuk pertama kali ECO PRO sebagai ciri standard.

Mod ECO PRO membolehkan pemandu mempelajari lebih lagi mengenai teknik pemanduan cekap bahan api. Dengan memilih mod ECO PRO, kenderaan BMW secara automatik mengoptimumkan strategi enjin, pendingin hawa dan pemanasan, serta fungsi elektrik lain dalam kereta.
Di samping itu, ECO PRO juga memberi petua-petua yang dinyatakan pada paparan supaya pemandu boleh mengurangkan penggunaan minyak.

Menurut BMW, memandu dalam mod ECO PRO boleh membantu pemandu untuk mencapai penjimatan minyak sehingga 20 peratus, bergantung kepada gaya pemanduan individu.
Di dalam kabin, ciri BMW ConnectedDrive membolehkan pemilik menikmati sambungan sepenuhnya USB dan fungsi telefon bebas tangan bluetooth.

Pemilik juga boleh mendapatkan akses kepada fungsi keselamatan dan infotainment seperti BMW TeleServices dan BMW Telematics Platform Accessory (TPA) yang merupakan ciri opsyenal, yang merangkumi Sistem Penemuan Semula Kenderaan dan perkhidmatan jarak jauh BMW Assist.
Varian baru BMW ini diliputi program servis yang menyeluruh iaitu BMW Service + Repair Inclusive (BS+RI). Ia merangkumi baik pulih kerosakan biasa atau penggantian selain penyenggaraan, servis atau baik pulih komponen kilang sesebuah kenderaan itu.

Program servis menawarkan ketenangan jiwa bagi pemilik dan ia menawarkan liputan tiga tahun dari tarikh tarikh asal pendaftarannya atau 60,000 km, yang mana dulu.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”