Sungguh menyayat hati apabila seorang wanita yang dipercayai menjadi mangsa rogol dan belasahan ditinggalkan dalam keadaan koma di persimpangan lampu isyarat di Pekan Lukut, Port Dickson, petang Jumaat lalu.
Mangsa berusia 20-an dipercayai warga tempatan hingga kini masih kritikal dan bergantung alat bantuan pernafasan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) selepas dirujuk dari Hospital Port Dickson (HPD).
Ketika ditemui kira-kira jam 6.35 petang Jumaat lalu, mangsa tidak memiliki identiti pengenalan diri, sekali gus menyukarkan polis untuk mengesan warisnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata kejadian menimpa wanita berkenaan hanya disedari apabila orang awam yang menemui mangsa terbaring di persimpangan lampu isyarat lalu menghubungi pihak hospital.
Menurutnya, mangsa dihantar mendapatkan rawatan di HPD sebelum dirujuk ke HTJS kerana parah.
“Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu mempunyai kesan keretakan di belakang kepala dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul selain cedera pada kedua-dua lutut serta siku akibat diseret dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
“Berikutan itu, polis tidak menolak kemungkinan wanita itu dirogol berdasarkan beberapa elemen yang ditemui,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, semalam.
Katanya, ketika ditemui, wanita itu memakai baju-T merah jambu dan jean pendek selain memakai gelang tangan manik.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai diserang lebih daripada seorang suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kami juga masih mengesan identiti wanita itu dan percaya dia rakyat tempatan berdasarkan suntikan BCG pada bahu kirinya,” katanya.
Menurutnya, setakat ini belum ada sesiapa tampil bagi mencari ahli keluarga mereka yang hilang dan polis sudah melakukan semakan di negeri ini, namun tidak menerima laporan kehilangan wanita dalam tempoh terdekat ini.
“Polis juga melakukan gerakan bagi mengesan suspek yang meninggalkan wanita berkenaan bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol,” katanya.
Katanya, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999 atau balai polis berhampiran.
No comments:
Post a Comment