Thursday, 6 December 2012

Wan Sharmila Tidak Mahu Dituduh Gatal




Status janda yang dipegang membuatkan pelakon genit, Wan Sharmila Wan Mohamed, 31, lebih berhati-hati dalam memilih teman hidup.

"Saya cuba elakkan suami orang," kata wanita dari Johor Bahru ini tatkala ditemui pada majlis pelancaran drama terbaru lakonannya, My Spy, yang mula menemui penonton pada 3 Disember di TV3.

Tegasnya, jika dia bertemu jodoh dengan lelaki yang sudah pun menjadi milik wanita lain, pasti dirinya akan menjadi bahan cercaan.

"Orang ramai akan cakap saya gatal dan tuduh saya jahat. Sebab itu saya perlu berhati-hati dan cuba mengelak daripada merapati suami ataupun teman lelaki orang lain.

"Jangan pula kata saya cerewet memilih pasangan kerana saya tahu akibatnya jika perkara sebegitu berlaku.

"Saya belum terfikir untuk kembali berumah tangga walaupun saya impikan anak ramai, kerana kebanyakan lelaki yang rapat dengan saya semuanya sudah berpunya," katanya yang mengaku sudah biasa bersendirian setelah rumah tangga bersama penerbit, Fazli Baharom, musnah tiga tahun lalu.

Ujar pelakon ini lagi, dia tidak mempunyai kriteria khusus lelaki bagaimana sesuai dijadikan teman hidup. Baginya, cukuplah jika dia selesa dengan lelaki itu.
Tiga tahun hidup solo, tidak dinafikan wanita ini bijak menghindari kontroversi.

Namanya jarang menjadi bualan kerana kisah cinta ataupun cerita panas. Semua itu, katanya, berpunca daripada dirinya yang tidak pandai mencetuskan kontroversi. Bagi Wan Sharmila, tiada apa yang menarik mengenainya yang boleh dijadikan kisah sensasi.

Berbicara mengenai pembabitan dalam My Spy, drama terbitan Radius One milik Shahrulezad Mohameddin yang dikongsi bersama bekas suaminya, katanya, dia amat rindu untuk bekerja di bawah produksi terbabit, terutama bagi drama berat terbitan mereka.

"Sudah agak lama saya tidak menerima tawaran daripada mereka. Inilah yang pertama selepas perceraian kami," katanya.

Sepanjang Ramadan lalu, Wan Sharmila terlantar sebulan di hospital kerana masalah kesihatan. Enggan mendedahkan penyakit dihidapi kepada umum, namun rentetan daripada penyakit itu, dia harus menjaga pergerakan.

Malah, hampir saja dia menolak tawaran berlakon dalam drama bersiri itu kerana ia membabitkan beberapa adegan lasak. Bagaimanapun, setelah berbincang dengan pengarah, Ramli Long, dan menjelaskan keadaan kesihatannya, mereka bersetuju untuk tidak memberikan babak berat kepadanya.

"Saya tidak boleh lasak, jika tidak bahagian pembedahan akan berasa sakit. Saya juga dinasihatkan banyak minum air. Akibatnya, ia menyukarkan saya di set penggambaran.

"Dua minggu selepas keluar hospital, saya kembali memenuhi undangan fotografi dan lakonan. Sekarang, saya kena pastikan lokasi penggambaran mempunyai tandas yang sempurna kerana saya kerap ke bilik air. Paling tidak, biarlah ia berhampiran dengan stesen minyak.

"Malah, hendak tidur pun sukar. Jika mengiring di sebelah kiri terlalu lama, kesan pembedahan akan terasa sakit. Selama ini, saya tidak pernah tahu saya sakit dan hanya menyedari perkara itu setelah berasa kesakitan yang teramat di bahagian kiri perut," katanya.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”