Wednesday, 27 March 2013

Serius jaga mutu


Filem Kerat 14 yang ditayangkan Februari lalu adalah lakonan pertama Siti Saleha, 23, di layar lebar. Digandingkan dengan aktor popular, Aaron Aziz, filem terbitan White Merpati Entertainment itu berjaya mencatat kutipan RM1.1 juta.



Sementara beberapa filem lakonannya seperti KL Zombie, Pencinta, Bravo dan Pak Pong menanti tayangan dan dua lagi dalam pembikinan, Mamak Cupcakes dan Pukul Habis.

Melihat perkemba­ngan kerjaya Saleha selama enam tahun ini, ternyata dia kini dalam liga teratas apabila menjadi pilihan penerbit filem untuk membintangi karya dihasilkan. Jarang berlaku apabila bintang baru sepertinya membintangi tiga filem dalam setahun.

Menjadi pilihan penerbit filem, adakah pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Nora Elena ini akan mengehadkan diri untuk tidak membintangi drama demi menjaga ‘eksklusif’ pesona bintang layar lebar?


Saleha menegaskan, dia tidak akan meninggalkan drama dan juga iklan komersial kerana sedar dirinya lebih dulu dikenali dalam dua medium itu.


“Cuma dua tahun lalu saya sibuk menjayakan enam filem sehingga terpaksa menolak tawaran berlakon drama. Peminat bertanya mengapa saya tiba-tiba senyap. Maklumlah hendak menunggu tayangan filem mengambil masa.

“Disebabkan itu, mereka berasakan saya seperti mahu meninggalkan drama. Cuma sekarang, saya harus pandai mengimbang­kan pembabitan di televisyen mahupun layar lebar,” katanya.

Dalam merencana kerjaya lakonan, terutama membabitkan filem, Saleha juga menegaskan, tentu dia akan memilih setiap kali diberi tawaran untuk membinta­ngi filem.

“Berlakon filem tidak boleh main-main kerana ia selalunya menjadi bahan perbincangan. Penonton akan menganalisis pada sudut penceritaan, lakonan mahupun teknikal. Ia berbeza apabila muncul dalam drama,” katanya.

Kritikan diterima filem Kerat 14 sebelum ini sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan Saleha. Katanya, jika filem itu tidak mencatat kejayaan, dikhuatiri ia memberi kesan kepada filem lakonannya selepas ini.

Begitupun sebagai orang baru, Saleha akui kutipan diperoleh filem pertama lakonannya melegakan. Katanya, sepanjang ia ditayangkan, dia tidak dengar orang me­ngutuk cara lakonannya.

“Memang saya gementar, terutama selepas menerima maklum balas daripada teman media mahupun peng­kritik filem. Kebanyakan mereka memberi penekanan terhadap jalan cerita. Saya dan Aaron melaksanakan tugas dengan baik dan kutipannya juga melebihi RM1 juta.

“Saya akui lakonan dalam filem mampu memberi kesan besar kepada kerjaya seni memandangkan penonton akan menilai secara keseluruhan.

“Namun pada waktu sama, jika hasil kerja diberikan bagus, mereka akan memberi penghargaan walaupun jalan ceritanya tidak kuat.

“Saya tidak rasa filem ­Kerat 14 akan meninggalkan kesan negatif memandang­kan tidak banyak kritikan negatif diberikan media terhadap karya arahan Arjin Uppal itu sebaik ia ditayang­kan.

“Malah, saya yakin ia menjadi permulaan baik dan bakal memberi impak positif terhadap filem lakonan saya yang bakal ditayangkan selepas ini,” katanya.

KL Zombie diterbitkan Grand Brilliance (GB) akan menemui peminat terlebih dulu dan dijadual ditayangkan pada Aidilfitri ini. Kata Saleha, filem lakonannya yang bakal ditayangkan semuanya menarik memandangkan ia menampil­kan karakter berbeza.

“Saya mahu penonton menyaksikan semua­nya. Biar mereka menentukan sejauh mana baiknya persembahan diberi. Begitupun, pada saya Pencinta ada sedikit keistimewaan kerana penceritaannya berbeza. Apatah lagi ia turut menampilkan elemen muzikal, antara genre saya gemari.

“Sewaktu menjalani proses memasukkan suara, saya sudah me­nyaksikan Pencinta. Jalan ceritanya akan menang­kap emosi, apatah lagi ia menampilkan saya melakonkan watak Aishah berdepan situasi cinta berbelah bagi. Ia juga diselang seli dengan aksi dan komedi. Pada saya, filem arahan Khir Rahman ini cukup cantik,” katanya.


Ingin menulis, mengarah filem

Berpeluang berlakon bersama pelakon wanita serba boleh seperti Sofia Jane dan Sharifah Amani membuka pandangan Siti Saleha untuk pergi lebih jauh dalam bidang seni dan bukan sekadar bergelar pelakon.

Saleha berpeluang bekerja dengan Sofia menerusi drama terbaru Asmara Luna yang bakal ditayangkan dalam slot Lestary di TV3. Sofia memegang watak ibu Luna, watak utama yang dilakonkan Saleha.

Katanya, sepanjang bekerja dengan Sofia, mereka banyak berbincang mengenai hala tuju industri dan pembabitan sebagai pelakon hingga timbul rasa kekaguman terhadap kejayaan ­Sofia.

“Usaha­nya menjadi penulis dan pengarah serta terbabit dalam projek Ikal Mayang dengan filem pendek 1-800-Baby turut mengagumkan saya. Dia banyak berkongsi pengalamannya dalam mengejar cita-cita menjadi penulis skrip dan pengarah yang baik. Secara tidak langsung, dia memberikan inspirasi,” katanya.

Jelas Saleha, pendedahan sama turut diterima sewaktu bekerja dengan Sharifah Amani yang menghasilkan dua filem pendek, Sangkar dan Hawa. Dalam diam, gadis berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini me­nyimpan impian mahu menulis skrip dan mengarah.

“Saya memang sukakan dunia lakonan tetapi kalau boleh, saya mahu mengembangkan kerjaya dengan jadi penulis dan pengarah filem. Begitupun, untuk mereali­sasikan impian itu saya perlu memastikan kerjaya saya sebagai pelakon stabil.

“Saya kini melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi dan antara subjek perlu diambil adalah penerbitan. Pendedahan itu sudah ada tetapi kalau boleh, saya mahu menjadi lebih mahir sebelum benar-benar mampu menghasilkan filem.

“Untuk itu, saya merancang mengambil kursus jangka pendek menambah ilmu seperti lakonan teater, penulisan skrip dan pengarahan,” katanya.

Kata Saleha, dia tidak akan mengarah dalam waktu terdekat kerana mahu memberi masa kepada dirinya mengenali selok-belok dunia penerbitan filem secara keseluruhan.

“Ini sebahagian peranca­ngan, namun segala-galanya ditentukan Allah. Begitupun, sejak dulu saya memang suka menonton filem.

“Setiap kali menonton, saya sangat teliti. Contohnya, saya boleh kesan jika kamera goyang hanya menerusi babak yang terpapar di layar lebar atau berapa kamera digunakan untuk menghasilkan filem itu. Semuanya saya lihat.

“Saya tahu perkara yang saya rancang ini tidak mustahil untuk direalisasikan kerana ada juga rakan artis muda seperti Liyana Jasmay mula mengarah.
Begitupun, saya mensasarkan impian itu akan dapat dicapai dalam masa lima tahun lagi,” katanya.

Sebagai langkah permulaan, Saleha berasakan harus lebih serius dengan menulis setiap idea terlintas di kepala kerana sebelum ini pelbagai imagi­nasi bermain di kepala yang boleh dijadikan jalan cerita menarik untuk filem.

“Dalam berfikir dan berangan itu, macam-macam cerita ada, sayangnya saya biarkan ia hilang begitu saja. Mulai sekarang, saya harus belajar untuk menyimpan idea dengan mencatatkan­nya,” katanya.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”