PUTRAJAYA 24 Julai - Penyanyi popular, Hattan atau Datuk Mohd. Shukri Sahabuddin selamat mendirikan rumah tangga dengan Arianie Mohd. Abidin dengan dua kali lafaz.
Menariknya, mereka disatukan buat kali kedua setelah bercerai pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Mereka disatukan buat pertama kali pada 17 Disember 1996.
Jelas Hattan yang kini berusia 49 tahun, dia berasa bersyukur kerana keluarganya kini telah kembali bersatu dan sempurna seperti dahulu.
"Selain bersyukur kerana doa selama ini telah termakbul, saya juga berasa insaf dan rendah diri akan pemberian yang Maha Esa kepada saya.
"Selama kira-kira sembilan tahun kami berpisah, akhirnya bersatu kembali sebagai sebuah keluarga yang sempurna," katanya yang ditemui setelah selesai majlis pernikahan yang berlangsung di Marriot Putrajaya di sini hari ini.
Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 berserta sebentuk cincin dan disatukan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang, Ustaz Abdul Halim Mohd. Isa pada pukul 6 petang.
Sementara itu, Arianie yang berusia 42 tahun berkata, dia dan suaminya akan belajar daripada kesilapan lalu bagi memastikan rumah tangga yang dibina kali ini bertahan lama.
"Benarlah kata orang sekiranya sudah jodoh kita, pasti akan bertemu dan bersatu kembali. Pastinya saya gembira dengan perkahwinan ini dan anak lelaki kami, Adam Eiman juga gembira," katanya yang bertugas sebagai ketua pramugari dengan syarikat penerbangan tempatan.
Majlis pernikahan yang turut diadakan dengan majlis iftar itu dihadiri kira-kira 250 tetamu, antaranya ahli keluarga, rakan terdekat dan rakan media.
Antara tetamu yang hadir termasuklah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ramli Sarip, Datuk DJ Dave, Ziana Zain, Misha Omar, Raja Azura, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh.
Pasangan tersebut turut merancang untuk bercuti bersama anak mereka ke Eropah pada penghujung tahun ini bagi meraikan ikatan yang kembali bertaut.
No comments:
Post a Comment