Friday, 30 August 2013

MERDEKAnya KITA: Dilarang buat persembahan



Tatkala menonton persembahan previu teater MERDEKAnya KITA di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Damansara Utama Rabu lalu, tiada sebarang unsur negatif atau pelik dalam naskhah karya Anwar Hadi Ramli ini.

Sebagai rakyat yang belajar mengenai sejarah negara, kita tahu evolusi yang berlaku dari zaman awal kerajaan Melayu hingga zaman penjajah sebelum mencapai kemerdekaan. Ia satu fakta yang tidak boleh diubah sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.
Bagaimanapun, entah kenapa teater yang dibawakan Teater Kami Limited dari Singapura ini berdepan risiko tidak dibenarkan membuat per­sembahan biarpun tarikh pementasan sudah ditetap­kan semalam dan malam ini.

Menerusi surat yang dikeluarkan Agensi Pusat Permohonan Peng­gambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) pada 27 Ogos lalu, Rumah Anak Teater (RAT) yang bertanggung­jawab menguruskan pementasannya di Malaysia dimaklumkan teater ini dikhuatiri boleh me­nyentuh sensitiviti ma­syarakat Malaysia terutama dalam aspek politik dan sosial.

Penerbit RAT, Faisal Mustaffa berkata, mereka sedih dengan apa yang berlaku kerana ia dikatakan menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia sedangkan ia menggambarkan perjalanan sejarah negara dari awal hingga mencapai kemerdekaan.


“Saya sudah buat rayuan kepada PUSPAL agar memberikan satu peluang kepada kami dan mengharapkan jawapan positif. Sehingga kini kami sudah menjual tiket dan sekira­nya per­sembahan masih tidak dibenarkan, kami akan memulangkan semula wang kepada penonton,” katanya.

Menurutnya, kekecewaan memang akan dirasai semua pihak yang terbabit kerana perancangan yang dilakukan mengambil masa lama dan kos tinggi. Bagaimanapun, mereka akur de­ngan peraturan dan undang-undang negara dan sebagai warga negara mereka akan mematuhinya.

“Teater ini dibiayai oleh National Arts Council (NAC) Singapura yang berperanan seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Teater Kami Limited tiada agenda tertentu dalam teater MERdEKAnya KITA. Mereka hanya ingin berkarya dengan jujur.

“Sekiranya rayuan kami tidak diterima dan per­sembahan tetap tidak dibenarkan, saya akan fikirkan menyuruh pelakonnya menunggu di luar pintu DPAC bagi mengucapkan terima kasih kepada penonton yang sudah membeli tiket ketika proses pemulangan wang dilakukan,” kata­nya.

Melihat kembali jalan ceritanya, teater yang hanya dibarisi empat pelakon iaitu Anwar Hadi Ramli, Ridwan Ramli, Dalifah Shahril dan Suhaila Md Sanif ini dibuka dengan paparan mengenai masyarakat Melayu yang hidup di bawah pemerintahan raja.

Selepas itu, ia beralih kepada zaman penjajahan British. Kemudiannya giliran Jepun mengambil alih menjajah sebelum diambil semula oleh British. Babak berikutnya memaparkan kemasukan imigran dari India, China dan Indonesia. Penamat cerita ini menunjukkan rakyat di bumi bertuah ini diberi peluang untuk merdeka dan memba­ngunkan negara me­ngikut acuan sendiri.

Atin berkata, dia kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku, namun tidak patah semangat untuk terus mengadakan pementasan di negara ini.

“Saya sedih lihat A­nwar bekerja keras buat rujukan untuk skrip ini dari arkib dan pelbagai sumber lain. Di Singapura sendiri yang ketat tapisannya pun teater ini boleh dipentaskan. Jadi di manakah silapnya? Kami juga tidak diberitahu secara lengkap babak mana yang dikatakan menying­gung perasaan.

“Jika dijelaskan secara menyeluruh, kami mung­kin boleh berkompromi untuk meminda mana-mana babak yang perlu,” katanya.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”