Tuesday 11 March 2014

MH370: Bomba diletakkan dalam keadaan bersedia


SEREMBAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menempatkan 100 pegawai dan anggotanya di Kuantan dan Langkawi untuk membantu usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, mereka terdiri daripada pasukan penyelam, pasukan khas Special Technical Operation Rescue Malaysia (STORM), pasukan unit pengesan dan unit udara.

"Mereka diletakkan dalam keadaan bersedia dan bertindak cepat sekiranya dipanggil. Mereka kini ditempatkan di Kuantan manakala unit udara menggunakan helikopter Agusta AW139 bersiap sedia di Langkawi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam keadaan begitu Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak boleh bergerak bersendirian, ia perlu menunggu arahan sebelum menyertai operasi, katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan Terpuji jabatan itu.

Beliau berkata, jabatan itu mempunyai keanggotaan dan aset yang mencukupi untuk menyertai usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 itu.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd Nor berkata, kebakaran hutan masih dalam keadaan kritikal dan  mengalu-alukan tindakan Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan larangan aktiviti pembakaran terbuka khususnya di Lembah Klang kerana didapati lebih 500 kebakaran hutan berlaku sehari di seluruh negara.

"Ini merupakan angka yang lima kali ganda lebih tinggi daripada biasa. Dalam keadaan biasa kita menerima 100 panggilan kebakaran hutan. Akibatnya, kita dapati kualiti udara juga terjejas disebabkan oleh kebakaran terbuka," katanya.

Oleh itu, beliau berkata, sudah tiba masanya orang ramai memberi perhatian serius tentang perkara ini dan tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dan sebagainya.

Wan Mohd Nor berkata, jabatannya sedang dalam proses memperoleh 100 jentera bomba dengan tangki air berkapasiti 20,000 liter untuk diagihkan ke negeri-negeri yang memerlukan.

Sepuluh jentera telah diterima tahun lepas, 70 unit tahun ini dan bakinya pada tahun hadapan. - Bernama

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”