Wartawan hiburan selalu dikata mereka gossip & memperbesar besarkan sehingga jadi tajuk utama di akhbar. Malah ada juga menuduh mereka menjadi penyebar fitnah kepada masyarakat.
Kononnya mentang-mentanglah ada akses jumpa artis, senang-senang korek rahsia dan tulis keburukan artis di ruangan gosip.
Tanggapan serong sebegitu memang keterlaluan tapi wartawan hiburan tidak ambil kisah. Sebabnya mereka tahu itu bukan fitnah. Lagi pun mereka sudah lali dengan label macam-macam oleh masyarakat. Malah tak melenting pun bila ada artis tak puas hati bila gosipnya tersebar.
Banyak sebab wartawan hiburan malas hendak melayan artis meroyan dan dakwa dirinya yang dimaksudkan dalam sesuatu gosip. Siapa makan cili dialah yang rasa cili itu. Manis atau pedas.
Sebabnya wartawan hiburan tahu bahawa gosip itu bukan fitnah. Gosip itu cerita betul yang mesti ditulis bukan macam cerita betul. Kalau diteliti semua gosip memberikan sedikit bayangan pada keseluruhan gosip.
Dalam dunia kewartawanan hiburan ini, ada perkara yang mesti ditulis walaupun tidak boleh ditulis sebagai berita. Jadi tuliskan pendekatan dan gaya gosip. Ringan-ringan, main-main dan lawak-lawak.
Wartawan ada etikanya , salah satu perkara ditulis mesti benar. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya dan bukan lepas tangan.
Kalau silap tulis akan bakal berdepan dengan tindakan undang-undang. Sebab itulah wujud gosip untuk mengelak tindakan undang-undang apabila fakta bertukar jadi bayangan sahaja. Bayangan ini tidak boleh dipegang sebagai fakta sebab tak ada fakta, nama, tempat dan lain-lain lagi.
Wartawan tak akan tulis kalau tak betul. Jadi, jika wartawan terhidu cerita sensasi artis dari sumber yang dipercayai, pasti jadi gosip. Sebab kebanyakan gosip itu 90 peratus adalah benar.
Kalau tak percaya, gosip ditulis wartawan hiburan pada hari ini akan ada jawapan selang dua atau tiga minggu lepas itu. Perhatikan betul-betul. Banyak contoh yang boleh dilihat seperti cerita skandal cinta, kes hutang, sosial, hubungan sejenis dan perangai-perangai aib daripada artis tertentu, pasti ada pengakuan daripada artis A atau B selepas itu.
Tapi tak semua cerita gosip yang ada dalam ruangan pojok itu jahat, ada yang baik sebab ada artis yang suka buat kebajikan, tapi tak nak dedahkan identiti sebab tak mahu publisiti. Begitu juga dengan cerita agama yang terlalu sensitif untuk dibualkan.
MelatahAtas semua alasan tersebut, saya tak faham kalau masih ada orang pertikai kredibiliti wartawan hiburan yang tulis ruangan gosip? Kalau apa yang ditulis wartawan itu tak betul, artis A atau B boleh tampil ke hadapan, tegakkan kebenaran.
Tetapi janganlah nak melatah, meroyan dalam Facebook atau Twitter atau melancar perang dengan wartawan. Jangan juga cuba lari bila terserempak dengan wartawan sebab orang salah saja yang lari dari kenyataan bahawa dia buat salah.
Saya tahu tak semua sokong cerita gosip. Alasan utama sebab gosip bakal menyemarakkan fitnah dalam masyarakat. Tak bagus untuk pembangunan manusia sebab kandungan ceritanya terlalu sensitif.
Masyarakat tak boleh maju kalau bergantung pada gosip semata-mata. Tapi siapa yang suruh percaya gosip bulat-bulat. Gunakan fikiran pertimbangkan sesuaatu perkara sebelum percaya.
Mungkin takutkan masyarakat mundur jugalah Senator Jins Shamsuddin pernah mencadangkan diharamkan gosip. Katanya gosip lebih banyak buruk dari baiknya dan merampas kehidupan peribadi artis. Sebabnya mereka terlalu banyak terdedah kepada gosip.
Bagaimanapun, perkara itu tidak mendapat reaksi menyeluruh sebab realitinya orang kita hari ini lebih suka mendengar gosip. Lebih panas lagi menarik terutama perihal peribadi seseorang artis.
Masyarakat juga suka berteka-teki tentang artis yang dimaksudkan penulis ruangan gosip berbanding membaca keseluruhan penjelasan daripada artis yang terkena gosip.
No comments:
Post a Comment