REMBAU: “Saya seperti pendatang di negara sendiri kerana tanpa sijil lahir dan kad pengenalan diri, susah untuk melakukan urusan rasmi, malah hidup seperti tidak sempurna,” keluh anak kelima daripada 10 beradik, Siti Halimah Jasni, 17, yang tidak memperoleh sijil lahir walaupun pelbagai usaha dijalankan termasuk meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyelesaikan masalah itu.
Menurutnya, dia baru sahaja menetap di Kampung Bongek, dekat sini, kira-kira lapan bulan lalu bersama empat adik beradiknya masing-masing berusia 13, 11, lapan dan tujuh tahun.
Katanya, mereka berpindah ke situ selepas mengikut ibu mereka, Siti Noraziah Mat Pareman, 40-an berpindah dari Kampung Simpang Durian, Jelebu.
“Ibu mengajak kami berpindah kerana dia mahu mencari kerja bagi menyara kehidupan kami adik-beradik berikutan abang dan kakak masing-masing sudah berkahwin.
“Ayah pula meninggal dunia akibat penyakit dihidapinya pada 2009,” katanya yang ditemui di Kampung Bongek, dekat sini, semalam.
Siti Halimah berkata, dia yang tidak pernah bersekolah baru sahaja melangsungkan pertunangan pada Mei yang lalu dan merancang berkahwin pertengahan tahun depan.
Namun, dia khuatir akan timbul masalah apabila tidak memiliki kad pengenalan diri untuk urusan pernikahan.
“Ibu pernah bercerita kepada saya yang dia melahirkan saya dalam ambulans. Ketika itu ibu dan ayah tinggal di Kuala Pilah, tetapi apabila ibu cuba mendapatkan data dan maklumat mengenai kelahiran saya di Hospital Kuala Pilah ia tiada dalam sistem. Keadaan ini menyebabkan saya sukar untuk mendapatkan surat beranak,” katanya.
Katanya, ketiadaan surat beranak menyebabkan dia tidak boleh melakukan urusan rasmi dan bimbang dikatakan bukan warga negara.
No comments:
Post a Comment