Thursday, 12 July 2012
Antara Peter Parker dan Spider-Man
TAJUK: The Amazing Spider-Man
GENRE: AKsi, Drama, Sains Fiksyen
PENGARAH: Marc Webb
PELAKON: Andrew Garfield, Emma Stone, Rhys Ifans, Martin Sheen
EDARAN: Columbia Pictures
Tayangan: Mulai 5 Julai 2012
Sekali Imbas
Merupakan pembikinan semula Spider-Man yang dahulu triloginya diarahkan oleh Sam Raimi lakonan Tobey Maguire sebagai Peter Parker. Setelah kata sepakat gagal dicapai antara Sam Raimi dan produksi Sony Pictures pada tahun 2008, Sony memutuskan untuk memulakan siri filem Spider-Man dengan jalan cerita, pengarah dan pelakon baru. Marc Webb dipilih sebagai pengarah baru manakala watak Peter Parker/Spider-Man diberikan kepada Andrew Garfield.
Ulasan Penuh
Pertama sekali, penulis sukar untuk membandingkan filem Spider-Man terdahulu dengan yang terbaru ini. Kedua-duanya hebat dalam cirinya tersendiri. Siri yang pertama dulu sarat dengan aksi, manakala yang terbaru ini penuh dengan drama emosi. Jadi penulis memutuskan filem terbaru ini perlu diberi perhatian tersendiri tanpa perlu membandingkannya dengan siri yang terdahulu.
Sebagai permulaan, semua sudah tahu jalan cerita untuk superhero dari komik Marvel ini. Mula diperkenalkan oleh Stan Lee dan Steve Ditko pada tahun 1962, kisah seorang remaja yang digigit labah-labah kemudiannya memperoleh kuasa luar biasa persis seekor labah-labah ini telah beberapa kali diterjemahkan sama ada dalam bentuk animasi, siri TV atau pun filem.
Justeru, terpulang kepada individu yang menjayakan francais tersebut untuk mengolah sendiri siri Spider-Man mereka agar lebih menarik perhatian penonton.
The Amazing Spider-Man dibawah ilham Marc Webb lebih memfokuskan kepada perkembangan watak Peter Parker yang seperti diketahui, remaja yatim piatu yang dibesarkan bapa dan ibu saudaranya. Peter Parker bukanlah seorang remaja yang kacak, atau cergas dalam bersukan seperti yang menjadi kegilaan gadis-gadis remaja lain. Dia adalah seorang nerd yang lebih suka menyendiri namun masih menyimpan perasaan terhadap seorang gadis di sekolahnya.
Di sini penulis mula merasakan, Andrew Garfield gagal membawakan watak nerd itu. Bukanlah bermaksud dia gagal membawakan watak Peter Parker, dia masih berjaya cuma kehebatannya hanyalah selepas Parker digigit labah-labah. Peter Parker yang lemah gagal diterjemahkan dengan baik oleh Garfield, penulis tetap merasakan Garfield masih terlalu 'macho' untuk menjadi seorang mangsa buli.
Kemudian selepas digigit labah-labah, barulah sepatutnya terserlah 'kemachoan' Peter Parker. Parker versi Garfield ini memang sangat menarik, egonya yang tinggi serta sifat berlagak membuktikan naluri manusia sememangnya akan berubah sekiranya memperoleh kebolehan luar biasa.
Penghayatan watak Garfield sebagai Parker yang sudah berkebolehan menjadi Spider-Man seharusnya dipuji. Mungkin antara Spider-Man terbaik setakat ini. Ibarat kata seorang teman penulis, "ini adalah Spider-Man paling realistik pernah aku tengok" dan penulis amat bersetuju dengan kenyataan itu.
Maka di sinilah jalan cerita utama The Amazing Spider-Man yang mengikut fasanya tersendiri. Fasa Parker yang lemah, fasa Parker berlagak dengan kuasa terbarunya, serta fasa Parker mulai sedar kebolehannya itu harus digunakan pada jalan yang betul melengkapkan jalan cerita filem ini. Cuma mungkin kalau Garfield mampu membezakan antara Peter Parker yang lemah dan Peter Parker 'Spider-Man' maka lakonannya akan menjadi lebih sempurna.
Jika Garfield gagal menarik perhatian penulis pada awal filem, seorang lagi watak nampaknya berjaya membuatkan penulis berasa seronok menonton filem ini. Watak itu ialah Gwen Stacy lakonan Emma Stone. Stone sememangnya berjaya untuk 'steal the show' setiap kali kemunculannya di layar perak.
Gwen Stacy hasil terjemahan Emma Stone adalah sangat comel, manja dan dekat audiens di mana audiens pasti akan merasakan betapa menariknya penampilan Gwen Stacy dalam filem ini. Keserasiannya dengan Peter Parker lakonan Andrew Garfield mungkin adalah aset utama untuk filem The Amazing Spider-Man dan penulis percaya banyak lagi sisi lain Gwen Stacy yang mampu diserlahkan dalam filem ini.
The Amazing Spider-Man menelan belanja sebanyak USD220 juta (iaitu hampir RM700juta) dan dengan bajet sebanyak itu, sudah tentulah kesan khas atau teknik CGI berada dalam kategori yang hebat. Banyak babak yang sememangnya diterima logik akal menjadikan filem ini agak kukuh struktur jalan ceritanya.
Keseluruhan, The Amazing Spider-Man berada dalam kategorinya tersendiri. Reviu-reviu yang positif dari pelbagai pihak media sememangnya menjadi faktor utama untuk filem ini untuk terus mendominasi carta kutipan pecah panggung. Penerbitnya sendiri pun sudah menjanjikan yang siri kali ini juga akan hadir dalam bentuk trilogi, bermakna akan ada dua sekuelnya yang akan menyusul.
Sipnosis
Peter Parker merupakan seorang anak yatim piatu yang diasuh dan dibesarkan bapa dan ibu saudaranya. Ibu bapanya telah meninggal dunia dalam satu tragedi misteri dan Parker dibesarkan dengan pelbagai persoalan tentang pemergian ibu dan bapanya itu.
Atas dasar ingin tahu, Parker telah menyiasat sehingga menemui bapanya bersahabat baik dengan saintis ternama, Dr Curt Connor. Penyiasatan Parker telah membawanya ke makmal ujikaji milik Dr Connor dan di situ tanpa disengajakan, dia telah digigit seekor labah-labah ganjil yang merupakan haiwan ujikaji Dr Connor.
Gigitan labah-labah tersebut menyebabkan Parker kini mempunyai kekuatan dan kebolehan luar biasa persis seekor labah-labah. Dia juga telah membantu Dr Connor menyelesaikan masalah sains yang selama ini gagal diselesaikan saintis tersebut.
Masalah timbul apabila Dr Connor menggunakan penyelesaian sains bantuan Parker untuk mengubah dirinya menjadi makhluk mutasi Lizard. Mampukah Parker menghalang Dr Connor yang kini dikuasai nafsu diri?
Labels:
Sensasi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment