Tuesday 11 September 2012

30 Mak Nyah Lari Bertempiaran Dalam Serbu Di Sebuah Hotel


30 Mak Nyah Lari Bertempiaran Dalam Serbu Di Sebuah Hotel: Lebih dari 30 pondan bergaya dalam pertandingan ratu cantik mak nyah di sebuah hotel berhampiran Taman Ria Jaya, di sini, bertempiaran lari setelah sepasukan anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) menyerbu tempat tersebut, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, sepasukan anggota PADKM telah menerima maklumat orang awam yang memaklumkan satu pertandingan ratu cantik mak nyah berlangsung di dewan hotel tersebut.

Pegawai Penguatkuasa PADKM, Zaiferi Zainul Abidin, berkata serbuan yang membabitkan seramai 21 anggota terdiri anggota Cawangan Penyiasatan Khas (CPK), penguatkuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Jabatan Imigresen.

Katanya, kehadiran pihak berkuasa dikesan pengawal keselamatan yang berjaga di hadapan pintu dewan tersebut yang segera bertindak memberitahu pihak penganjur menyebabkan semua pondan terbabit cuba meloloskan diri melalui pintu belakang.

“Ketika intipan dibuat semua pondan terbabit sedang bergaya untuk merebut beberapa kategori yang dipertandingkan iaitu Miss Favourite, Best Hair, Best National Costume, Body Beautiful, Miss Cute, Best Make Up serta Catwalk.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu hampir 30 pondan yang cuba meloloskan diri sanggup berkaki ayam serta terjun dari tangga untuk mengelak ditahan.

“Semua pondan terbabit lari ke kawasan padang golf serta tasik berhampiran hotel berkenaan dan terus menghilangkan diri di dalam gelap, namun kami menahan 8 mak nyah terbabit dalam acara berkenaan setelah gagal melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati dewan terbabit disewa penganjur terbabit untuk mengadakan Pertandingan Ratu Antarabangsa 2012, di mana pesertanya membabitkan mak nyah yang datang dari negeri ini dan juga negeri lain.
 
“Semua mak nyah yang ditahan itu dibawa ke pejabat PADKM dan diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan seorang penjamin.

“Mereka akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1948 iaitu lelaki berpakaian perempuan dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara 6 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya. - 30 Mak Nyah Lari Bertempiaran Dalam Serbu Di Sebuah Hotel

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”