ALUNAN suara Opick sering menghiasi drama tempatan yang menjadikan lagunya sebagai muzik latar.
Namun, masih ramai belum mengenali gerangan penyanyi dari seberang ini berbanding lagu-lagu hitnya seperti Bila Waktu Telah Berakhir dan Cahaya Hati.
Hakikatnya, si pemilik nama sebenar Aunur Rofiq Lil Firdaus ini sudah bergerak aktif dalam industri seni Indonesia sejak 1997 lagi.
Cukup sinonim dengan lagu-lagu berkonsep religi, Opick hadir ke Malaysia, baru-baru ini untuk mempromosikan album terbarunya, Salam Ya Rosulullah.
Ini bukanlah kunjungan kali pertama lelaki berusia 38 tahun ini ke sini, cuma kali ini lebih istimewa kerana dia meluangkan masa untuk bertemu media.
Kesempatan yang ada digunakan untuk mengenali lebih dekat penyanyi yang selesa dengan imej berserban ini.
Mengimbas kembali perjalanannya sebagai anak seni, kata Opick, dia sebenarnya bukan terus bermula sebagai penyanyi lagu ketuhanan.
Sebaliknya, di awal kemunculan dalam bidang nyanyian, Opick membawakan imej rocker.
“Saya pernah menghasilkan album dengan sebuah grup yang dinamakan Timor Band.
“Kumpulan itu sempat bertahan selama beberapa tahun sebelum berpecah,” katanya membuka bicara. Meneruskan haluan masing-masing, Opick kemudiannya bekerjasama pula dengan beberapa penggiat seni di sana dalam projek-projek khas.
Jelas Opick, kecenderungannya ketika itu lebih kepada menghasilkan lagu yang bernada protes.
“Saya seorang yang pemarah dan sering berasa tidak puas hati dengan pelbagai perkara termasuklah kepada pemerintah.
“Jadi, saya luahkan perasaan protes itu dalam karya dan berasa puas dapat melakukan begitu,” katanya.
Mengimbau kembali dirinya yang lama, Opick juga menyifatkan pada waktu itu dia telah melalui ‘zaman gelap’.
“Ketika itu, saya lebih suka tampil dengan imej rambut panjang melepasi bahu.
“Malah, saya juga dikelilingi dengan rakan-rakan yang terlibat dengan najis dadah.
“Mujurlah saya masih mampu mengawal diri agar tidak terpengaruh dengan benda negatif sedemikian,” katanya.
Haluan hidup berubah
Bagaimanapun, kata Opick, pertemuan dengan seorang ustaz benar-benar telah merubah haluan hidupnya.
“Dalam pertemuan singkat itu, kami sempat berbicara dan saya ada meminta nasihatnya berkenaan satu perkara.
“Lantas, dia menyuruh saya beristighfar dan bermula detik itu, saya mula melakukan transisi dalam hidup,” katanya.
Pertemuan itu juga menurut Opick, membuka jalan buatnya untuk menghasilkan album ketuhanannya yang pertama berjudul Istighfar pada 2005.
Tanpa disangka, perubahan yang dibawa Opick mencetuskan gelombang baru di Indonesia yang menerima baik lagu berunsur religi.
“Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk menghasilkan lagu ketuhanan kerana merasakan diri tidak layak.
“Bagaimanapun, saya anggap diri ini beruntung kerana dipilih oleh Tuhan untuk berubah,” katanya.
Lagu umpama doa
Selepas kejayaan Istighfar, Opick terus mengorak langkah menghasilkan album ketuhanan seterusnya iaitu Semesta Bertasbih (2006), Ya Rahman (2007), Cahaya Hati (2008), Di Bawah Langit Mu (2009), Shollu Ala Muhammad (2010), The Best of Opick (2011) dan Salam Ya Rosulullah (2012).
Bagi Opick, dia amat bersyukur dengan maklum balas positif pendengar yang menyukai karya-karyanya.
“Pada mulanya, saya menyangka lagu ketuhanan sukar menembusi pasaran, tetapi ternyata sangkaan saya meleset.
“Malah, saya dapat banyak keberkatan kerana secara tidak langsung, lagu saya menjadi doa buat saya.
“Saya juga menganggap karya saya sebagai jambatan untuk menasihati diri sendiri dan pendengar di luar sana,” katanya.
Bukan saja di negara kelahirannya sendiri, peminat Opick di Malaysia juga semakin bertambah.
Namun, bapa kepada empat anak perempuan ini enggan mendabik dada dengan kejayaan yang dimilikinya.
“Dapat menyiapkan sesebuah karya dengan ikhlas sudah dianggap satu kejayaan buat saya.
“Jika lagu saya meletup dan album pula laku, itu semua sadalah bonus,” katanya.
Dealova versi Opick
Tidak sah juga jika berbicara dengan Opick tanpa menyentuh mengenai penghasilan album barunya.
Buat pertama kalinya, album ini dihasilkan sendiri di bawah syarikat rakaman miliknya, Tombo Ati.
Menyedari lagunya sering diputarkan di Malaysia, Opick memberi kepercayaan kepada In Team Records untuk mengedarkan album kelapannya itu di sini.
“Sebanyak tujuh lagu baru dan tiga lagu lama dimuatkan dalam album ini.
“Bersesuaian dengan judulnya, album ini juga menggambarkan kerinduan saya terhadap Nabi Muhammad SAW.
“Saya harap, pendengar juga akan merasai kerinduan tersebut apabila mendengarkan lagu di dalam album ini,” katanya.
Lebih istimewa, Opick turut menyelitkan lagu Dealova yang sebelum ini dinyanyikan vokalis Dewa 19, Opick.
Menurut Opick, ada cerita di sebalik pembikinan lagu itu yang pernah popular sekitar 2005.
“Saya menghasilkan lagu ini sekitar 13 tahun lalu, tetapi ketika itu saya belum ada nama dan tiada siapa percaya kemampuan saya.
“Hanya Once yang mahukan lagu itu dan siapa sangka, Dealova akhirnya popular,” katanya.
Cuma bezanya, jika Dealova versi Once ditujukan buat sang kekasih, versi Opick pula meluahkan kerinduannya kepada ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW.
“Saya tiada masalah sekiranya ada yang menganggap lagu ini untuk kekasih. “Ini kerana, terserah kepada tafsiran masing-masing untuk menilai erti di sebalik lagu ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment