Tuesday, 18 December 2012

Ummi Nazeera Pukau Orang





Anggun berbaju kebaya rekaan moden rona kuning, kemunculan pelakon hitam manis, Ummi Nazeera di bilik menunggu ketika acara Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) Ke-55 yang berakhir di Macau, malam kelmarin, memukau mata delegasi lain antaranya dari Jakarta, Seoul dan Tokyo.

Gadis ini juga tidak kekok berbual mesra dengan mereka walaupun kali pertama bersua muka. Pelakon yang mewakili filem Hikayat Merong Mahawangsa ini nyata begitu teruja kerana dapat mewakili negara ke sebuah festival bertaraf antarabangsa.
Selain dapat melihat bagaimana festival di luar negara dianjurkan, saya juga dapat kawan baru," Ummi Nazeera, Pelakon

"Saya seronok kerana ini pengalaman baru buat saya. Selain dapat melihat bagaimana festival di luar negara dianjurkan, saya juga dapat kawan baru, Pevita Pearce iaitu pelakon filem 5 Sentimeter dari Indonesia.

"Sebenarnya, saya baru mengenalinya, mungkin kami serasi kerana saya berkawan dengan salah seorang rakannya yang sama-sama berlakon dalam filem itu. Jadi, mungkin itu yang membuatkan kami mudah mesra,” katanya.

Ummi Nazeera juga dapat berkenalan dengan ramai penerbit filem dari negara peserta yang lain.

“Ada antara mereka menyatakan hasrat untuk bekerjasama tetapi saya tidak mengambil serius kata-kata mereka kerana kami hanya sempat bertukar-tukar kad saja," katanya.
Tak sempat berlibur di Macau

Empat hari berada di Macau, gadis ini mengakui tidak banyak aktiviti dapat dilakukan. Malah, dia tidak sempat bersiar-siar di kota pelancongan itu.

Sepanjang berada di Macau, seperti delegasi lain, Ummi Nazeera juga berdepan masalah utama iaitu kesukaran mendapatkan makanan halal.

Bagaimanapun, ia tidak sedikitpun menerbitkan rasa kesal di hati gadis ini untuk mengikuti rombongan yang dibawa oleh Perbadanan Filem Nasional (FINAS) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) ini.

Selain itu, Ummie tidak kisah dengan kepayahan yang terpaksa ditempuhi berikutan penganjuran FFAP 55 yang dilihat tidak teratur dan kelam kabut.

"Ini kali pertama Macau diberi peluang menganjurkan FFAP, jadi kesilapan teknikal bagi saya adalah sesuatu yang normal.

"Kita tidak harus menyalahkan mereka, malah kita harus terus menyokong penganjuran festival ini supaya filem kita dapat terus ke depan.

“Siapa tahu, jika kita terus menghasilkan filem berkualiti, tidak mustahil suatu hari nanti filem kita dapat menjengah pasaran lebih besar seperti Hollywood," katanya.

Tak patah semangat

Biarpun gagal meraih trofi pada Festival Filem Asia Pasifik ke-55 (FFAP 55) yang berakhir di Macau, malam kelmarin, ia tidak mematah semangat delegasi Malaysia untuk menyertai festival sama termasuk acara penganugerahan peringkat antarabangsa lain, pada masa depan.

Sebaliknya, kekalahan itu menjadi pembakar semangat penerbit, pengarah serta pelakon untuk memberi persembahan terbaik pada masa akan datang.

Filem Bunohan terbitan Apparat Sdn Bhd dan Songlap (Grand Brilliance) yang menjadi harapan delegasi Malaysia yang berkampung di Macau sejak Khamis lalu, gagal membawa pulang sebarang trofi dari lima kategori yang dipertandingkan.

Filem Bunohan bersaing dalam kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Sinematografi Terbaik. Manakala filem Songlap berentap dalam kategori Lakon Layar dan Muzik Terbaik.

Pengarah Bunohan, Dain Said berkata, beliau tidak kecewa malah tidak menganggap kekalahan sebagai satu kegagalan.

"Saya tidak mahu memburu kemenangan, tetapi jika itu keputusannya, saya terima dengan senang hati,” katanya kepada HIP.

Dain berkata, dia tidak takut kepada kekalahan.

“Bagi saya, tiada yang perlu dimalukan kerana yang lebih penting filem ini dapat bertanding selain filem hebat dari rantau Asia Pasifik," katanya.

Filem Hong Kong bolot empat trofi

Selain Bunohan dan Songlap, Malaysia turut menghantar tiga filem lain iaitu Hikayat Merong Mahawangsa, Nur Kasih The Movie dan Ombak Rindu. Tetapi ketiga-tiga filem itu gagal melangkah ke Top 5.

FFAP yang memasuki edisi ke-55, pertama kali dianjurkan di Macau. Sebelum ini, FFAP diadakan dua tahun berturut-turut di Taiwan.

Sementara itu, filem dari Hong Kong membolot empat anugerah dari 12 kategori yang dipertandingkan iaitu Filem Terbaik (Life Without Principle); Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Lo Hoi Pang/Life Without Principle); Suntingan Terbaik (Cold War) dan Bunyi Terbaik (The Silent War).

Tahun ini, acara yang berlangsung di Cotai Arena, Hotel The Venetian itu menyaksikan penyertaan dari 23 ahli bersekutunya seperti India, Korea, Jepun, Singapura, Thailand, Australia, Indonesia dan Iran.

Keputusan peringkat akhir dinilai tujuh juri iaitu dengan Pengarah Bahagian Festival Filem Antarabangsa Cannes, Christian Juene diundang sebagai Ketua Juri.

Artis yang mewakili negara pada FFAP 55 ialah Maya Karin, Shaheizy Sam, Bront Palarae, Ummi Nazeera dan Shafie Naswip.

Keputusan

Filem Terbaik
Life Without Principle (Hong Kong)

Pengarah Terbaik
Hirokazu Kore-eda (I Wish/Tokyo)

Pelakon Lelaki Terbaik
Eddie Garcia (Bwakaw/Manila)

Pelakon Wanita Terbaik
Gwei Lun Mei (GF.BF/Taipei)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Lo Hoi Pang (Life Without Principle/ Hong Kong)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Watanabe Makiko (Capturing Dad/ Tokyo)

Lakon Layar Terbaik
Ahmad Reza Motamedi (Alzheimer/Tehran)

Sinematografi Terbaik
Jake Pollock (Starry Starry Night)

Suntingan Terbaik
Kwong Chi Leung/Wong Hoi (Cold War/Hong Kong)

Bunyi Terbaik
Traithep Wongpaiboob/ Nopawat Likitwong (The Silent War/Hong Kong)

Muzik Terbaik
Pritam Chakraborty (Barfi/Mumbai)

Pengarah Seni Terbaik
Wasiq Khan (Gang of Wasseypur 1 &2/ Mumbai)

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”