Alor Gajah: Seorang pemandu lori kontena yang hampir putus kaki kiri menanggung azab hampir tiga jam akibat tersepit selepas kenderaan berat dipandu hilang kawalan dan terbalik dengan empat tayar ke atas di Kilometer 216.7 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, Raja Ahmad Putera Raja Ahmad, 51, dalam perjalanan dari Simpang Ampat menuju Kuala Lumpur sebelum treler dipandu hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jalan sebelum terbalik.
Mangsa yang tersepit meraung meminta segera dikeluarkan dari lori berkenaan dan dia dikeluarkan sepasukan anggota bomba hampir tiga jam selepas kejadian sebelum dikejarkan ke hospital.
Difahamkan, mangsa baru selesai menghantar bekalan perkakasan kenderaan di sebuah kilang automotif di kawasan perindustrian Pegoh, di sini, bergerak pulang ke Balakong, Selangor sebelum terbabit kemalangan.
LORI kontena yang terbalik di tempat kejadian.
Menurut sumber, ketika melalui selekoh susur keluar dari Tol Simpang Ampat, treler dipandu mangsa hilang kawalan merempuh dan merentasi besi penghadang jalan hingga kenderaan berat terbabit terbalik dengan kedudukan empat tayar ke atas.
No comments:
Post a Comment