Friday, 13 September 2013

Nora Danish Tak percaya skandal Adi Putra


Kedua-duanya pernah digosipkan kerana kekerapan berlakon bersama, sama ada di skrin kecil mahupun layar lebar. Selain drama Tentang Dhia dan telefilem Ijab dan Qabul, Nora Danish dan Adi Putra juga berpasangan dalam filem Aku Terima Nikahnya serta terbaru, Suami Aku Ustaz.

Biarpun sudah menjelaskan hubungan mereka tidak lebih rakan seperjuangan, namun apabila sesuatu perkara berlaku ke atas aktor lelaki terbabit, sebagai antara insan paling rapat dengannya, Nora tidak terlepas daripada buruan wartawan bagi mendapatkan ulasan.

Seperti isu dakwaan wujudnya skandal antara pelakon lelaki terbabit dengan peminat yang juga isteri orang, sehingga ia menjadi kes polis apabila laporan berkaitan perkara itu dibuat lelaki yang mendakwa sebagai suami wanita berkenaan, Nora sekali lagi dicari wakil media yang ingin mendapatkan komennya.

Ditemui sewaktu menghadiri majlis pratonton filem terkini lakonannya, Lagenda Budak Hostel, di Mutiara Damansara, baru-baru ini, secara peribadi Nora yang terkejut dengan cerita itu bagaimanapun menyatakan, dia tidak percaya wujudnya skandal seperti diperkatakan.

Adi sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan dia tidak mengenali wanita yang dikaitkan dengan dirinya.

Hulur simpati


Tumpang simpati dengan apa yang terjadi, Nora memaklumkan dia pernah mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pelakon itu dan isterinya, Aida Yusof.

“Saya sudah banyak kali bekerja dengan Adi dan saya menghormatinya seperti abang sendiri. Mengenai gosip yang melanda dirinya ketika ini, saya tidak mahu mengulas panjang. Biarlah siasatan diteruskan. Namun secara peribadi, saya tidak percaya dengan gosip itu.

“Saya terkejut apabila mendengar cerita berkenaan. Saya juga pernah mengalami situasi di mana orang memfitnah saya. Ketika itu, saya ingin lari daripada media dan lebih selesa jika tidak diganggu orang ramai.

“Saya juga ada SMS abang Adi dan kak Aida supaya mereka terima dugaan ini dengan tabah,” ujar Nora yang memegang watak Seroja dalam filem arahan Ismail Bob Hashim terbitan Metrowealth Pictures (MIG) itu.

Lagenda Budak Hostel menemui penonton mula 12 September lalu. Ia juga menampilkan pelakon seperti Along Cham, Along Eyzendy dan Pekin Ibrahim.

Belum sedia kahwin semula

Ditanya mengenai hubungannya bersama Mohamad Nedim, iaitu anak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Tan Sri Nazri Aziz, Nora menegaskan dirinya dan pemuda itu tiada sebarang perancangan mendirikan rumah tangga, malah hatinya sendiri belum terbuka untuk berkahwin kali kedua, buat masa sekarang.

“Saya tidak suka menggunakan perkataan bercinta dalam menjelaskan hubungan saya dengannya, apatah lagi untuk bercakap soal nikah. Kami masih dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing. Cuma, saya dan dia sering dilihat bersama kerana kami tinggal berdekatan, malah anak kami pun selalu bermain bersama.

“Kami pula bergelar ibu dan bapa tunggal, serta pernah melalui zaman perkahwinan. Jadi, kalau hubungan ini membawa ke jenjang pelamin sekali pun, kami akan lebih berhati-hati dan takkan terburu-buru melakukannya,” ujar Nora yang mengaku mempunyai perancangan perniagaan bersama Nedim, yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Mengenai percutian ke Bali baru-baru ini pula Nora menjelaskan, Nedim ke sana disertai beberapa rakan dan dia pula membawa ibunya bersama. Mereka hanya berjumpa selepas berada di pulau peranginan berkenaan.

“Begitupun, saya tak salahkan orang yang mengatakan kami bercinta. Cuma, saya tak suka cakap kami bercinta, takut tak jadi nanti. Saya lebih selesa kalau kami dikatakan berkawan rapat. Lagipun kami sudah kenal tujuh tahun, jadi selesa berkawan bersama,” kata Nora yang baru menamatkan penggambaran drama Benci Versus Cinta, manakala hujung bulan ini pula akan memulakan penggambaran sebuah lagi filem terbitan MIG, Pengantin Malam.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”