Friday 13 September 2013

Syamsul berundur dari industri filem?


PENERBIT dan pengarah prolifik, Datuk Yusof Haslam mendedahkan, anaknya, Syamsul meluahkan hasrat untuk berhenti mengarah filem akibat terlalu kecewa selepas filem kelapan arahannya, KL Gangster 2, bocor sebelum ditayangkan.

Jelasnya, ketidakhadiran Syamsul pada malam gala tayangan filem itu juga kerana terlalu kecewa dengan insiden yang berlaku.

“Sehingga kini Syamsul masih kecewa dan tidak boleh terima apa yang berlaku. Saya faham, sebagai anak muda, dia belum cukup kuat berdepan dengan situasi sukar sebegini.

“Malah sebelum datang ke sini, saya sempat usap kepalanya, memujuknya dan menyatakan rasa sokongan kepadanya. Begitu juga adiknya, Syafiq yang turut sama memberi sokongan kepada Syamsul,” ujarnya.

 Yusof berkata, sekiranya benar Syamsul berundur daripada industri pembikinan filem, dia merasa amat kecewa apatah lagi Syamsul kini antara pengarah muda yang berpotensi tinggi.

“Pengundurannya bukan satu kehilangan buat Skop Production, bahkan kehilangan besar buat industri perfileman. Apatah lagi sebelum ini ramai yang berjumpa saya dan berkata betapa bertuahnya saya mempunyai Syamsul untuk meneruskan empayar perniagaan.

“Jadi saya perlukan sokongan semua dan diharapkan ia akan dapat mengembalikan semula semangatnya,” katanya.

Berjuang Hingga Mati!

Di tanya mengenai perkembangan siasatan setakat ini, Yusof berkata siasatan masih sedang dijalankan dan beliau menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa.

Namun beliau mengharapkan pihak berwajib mengambil tindakan segera terhadap penjenayah-penjenayah siber dan cetak rompak terbabit.

“Sekarang ni saya serahkan siasatan kepada pihak berkuasa. Dalam masa sama pihak kami juga jalankan siasatan. Saya cuma berharap pihak berkuasa tak ambil masa lama untuk menyiasat kalau ambil masa lama, bermakna kita biarkan penjenayah ini berleluasa.

“Kita redha dengan ujian ALLAH ini, yang mana dah bocor, bocorlah tapi saya percaya penonton yang cintakan filem Melayu dan kualiti, mereka akan datang menonton di pawagam.

“Tapi saya tak akan berhenti dan akan terus berjuang habis-habisan! Saya akan berjuang hingga saya mati!" katanya dalam nada tegas.

KL Gangster 2 yang merupakan filem prekuel kepada KL Gangster mula dihasilkan sejak pertengahan 2011. Filem terbitan Skop Production yang menelan kos RM 4.5 juta ni menampilkan barisan pelakon seperti Aaron Aziz, Adi Putra dan Rosyam Nor.

Filem ini juga secara eksklusifnya bakal menemui para penonton di 100 buah pawagam seluruh Malaysia mula 3 Oktober ini dan sebanyak 7 pawagam di Singapura.




No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”