Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei enggan memaksa dirinya dan membayangkan kemungkinan tidak bertanding jika kecederaan buku lali kirinya bertambah serius apabila beraksi dalam saingan Seluruh England di Birmingham yang membuka tirainya, semalam.
Pemain badminton nombor satu dunia itu menyatakan dia tidak mahu mengambil sebarang risiko memandangkan ada empat kejohanan besar menantinya pada tahun ini.
Saingan itu adalah Piala Thomas di New Delhi, India bermula 18 Mei ini, selain Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland (21 Julai hingga 4 Ogos), Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark (25 hingga 31 Ogos) dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan (28 September hingga 5 Oktober).
Memandangkan sudah tiba di sini (Birmingham), saya tetap akan beraksi dan setakat ini proses pemulihan kecederaan ini berjalan lancar" Lee Chong Wei Pemain No 1 dunia
Proses pulih
“Saya tidak boleh paksa, jika berasa sakit saya akan menarik diri.
“Memandangkan sudah tiba di sini (Birmingham), saya tetap akan beraksi dan setakat ini proses pemulihan kecederaan ini berjalan lancar,” kata Chong Wei yang akan bertemu pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk di pusingan pertama, hari ini.
Sehari sebelum berlepas ke Birmingham, pada Sabtu lalu, pemain berusia 32 tahun itu mengakui belum dapat memastikan sama ada akan beraksi atau sebaliknya di Seluruh England selepas kecederaan buku lali kiri yang dialami ketika saingan Piala Thomas di Wuhan, China dua tahun lalu, kembali menghantuinya.
Namun, Pengarah Kejohanan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dr Koay Ban Hing mengesahkan Chong Wei tetap akan berlepas ke Birmingham kerana kecederaannya tidak di tahap membimbangkan.
Sumber: Berita Harian online 5.3.14
No comments:
Post a Comment