Wednesday 30 May 2012

Gadis nekad lompat kereta elak diculik


PETALING JAYA: Seorang gadis berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari kereta dalam satu cubaan culik di kawasan tempat letak kereta di The Curve, Mutiara Damansara, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, mangsa, Chin Xin Ci, berusia 20-an dikatakan berada dalam keretanya sendirian di kawasan berkenaan sebelum didatangi seorang lelaki yang bertindak mengacukan parang di lehernya.
Lelaki terbabit yang memakai baju T berwarna biru itu menutup mulut mangsa dengan tangannya, mengarahkan tidak menjerit sambil menolaknya ke tempat duduk bahagian belakang.
Pada masa sama, seorang lagi suspek masuk ke tempat duduk belakang kenderaan mangsa sambil meminta tiket parkir untuk keluar daripada kawasan berkenaan.

Xin Ci berkata, dia yang terkejut dengan kejadian menimpanya itu merayu kepada dua lelaki terbabit supaya mengambil semua wang yang ada dan melepaskannya.

“Seorang daripada mereka memukul saya dan cuba melakukan gangguan seksual. Lelaki itu menekan badan saya ke lantai tempat duduk belakang, namun saya merayu supaya dibenarkan duduk dan berjanji tidak menjerit.

“Bagaimanapun, dalam perjalanan keluar dari kawasan tempat letak kereta itu, saya berjaya membuka kunci pintu kereta itu untuk melompat keluar dalam keadaan kereta bergerak, namun usaha saya tidak berjaya apabila tindakan disedari lelaki itu.
“Dia menarik saya masuk ke dalam kereta, namun saya meronta sambil menggigit tangan lelaki itu sehingga rakannya menjerit supaya melepaskan saya kerana bimbang perbuatan itu disedari orang awam,” katanya yang menceritakan kejadian terbabit dalam akaun facebooknya.

Xin Ci berkata, sebaik berjaya melarikan diri, dia berlari ke arah sebuah bank pusat beli belah itu sambil menjerit meminta pertolongan.

“Dalam keadaan ketakutan itu, saya memeluk lelaki yang berada di situ sambil memberitahu kejadian yang berlaku sebelum pengsan.

“Susulan kejadian itu, saya membuat laporan polis di balai polis berhampiran pada hari sama. Saya tidak menyangka kejadian ngeri ini menimpa diri,” katanya yang berharap kisahnya itu menjadi panduan wanita lain.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”