Wednesday, 30 May 2012
Rahsia Di Sebalik Lagu Ulek Mayang
Anda sudah tentu pernah dengar lagu tradisi Negeri Terengganu, Ulek Mayang. Lagu Ulek Mayang yang bermula sebagai kaedah perubatan tradisional menjadi identiti Terengganu kerana menjadi amalan masyarakat Melayu lama sejak beratus tahun lalu. Namun amalan itu dikatakan amalan khurafat kerana menggunakan khidmat makhluk halus atau pun jin dalam mengubati seseorang pesakit.
Sekarang Ulek Mayang hanya dikaitkan sebagai persembahan kesenian tradisional yang masih aktif berkembang beberapa lokasi di Terengganu seperti Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang. Dipercayai Mayang Pinang membangkitkan semangat. Ketika persembahan ini berlangsung pemain diiringi dengan seloka dan pantun oleh rakan yang lain. Persembahan ini dimainkan secara beramai-ramai dengan membuat bulatan dan pemegang duduk di tengah-tengah. Tidak ada muzik yang mengiringi persembahan ini.
Kini, Ulek Mayang hanya dipersembahkan sebagai hiburan semata-mata tanpa mencampur adukkan unsur khurafat dalam bacaan mantera. Malah, persembahan hanya berlangsung 10 minit berbanding antara 20 hingga 30 minit.
Ulek Mayang yang menampilkan persembahan tujuh puteri yang mengubati seorang lelaki yang terkena sampuk. Ada dua versi iaitu versi sekumpulan lelaki bermain sepak raga dan versi sekumpulan nelayan sebelum seorang daripada mereka terkena sampuk.
Sejarah Ulek Mayang
Mengikut catatan sejarah, tujuh puteri itu berasal dari Bukit Puteri yang sentiasa menjadi tumpuan orang kampung untuk meminta bantuan mengubati orang sakit melalui jampi, seru dan mantera. Ulek Mayang yang ada pada hari ini sudah mengalami perubahan termasuk menghapuskan unsur khurafat.
Kini, persembahan Ulek Mayang yang dimainkan sekadar untuk suka-suka saja, di mana ia melambangkan suatu pemujaan mendalam terhadap Tuan Puteri Tujuh beradik. Persembahan dimulakan dengan membaca doa dan membangkitkan asal Mayang. Mayang yang digunakan dalam persembahan ini diasap kemenyan dan disapu minyak kelapa terlebih dahulu.
Doa dan ‘bangkitan’ dilakukan untuk memohon perlindungan agar orang yang mengambil bahagian tidak ditimpa apa-apa kemalangan.
Lagu Ulek Mayang
ULIK MAYANG
Umbut mayang di umbut
Umbut dengan jala-jemala
Ulit mayang diulit
Ulit dengan puterinya satu
Puteri satu berbaju serong
Puteri satu bersanggul sendeng
Puteri satu bersubang gading
Puteri satu berselendang kuning
Ulit mayang di umbut
Ulit dengan jala-jemala
Jika sambut mayang disambut
Sambut dengan puterinya dua
Puteri dua berbaju serong
Puteri dua bersanggul sendeng
Puteri dua bersubang gading
Puteri dua berselendang kuning
Ulit mayang di umbut
Ulit dengan jala-jemala
Jika sambut mayang disambut
Sambut dengan puterinya tiga
—
Ku tahu asal usul mu
Yang darat balik ke darat
Yang laut balik ke laut
Nasi kuning hamba sembahkan
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala
Labels:
macam2
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment