Monday, 4 June 2012

Awek Belajar UPSR Layak Terima Hantaran RM2,000 Je?


 
                                                                         gambar hiasan

Musim cuti sekolah sudah pun bermula. Pastinya ramai di antara kita menerima banyak undangan ke majlis perkahwinan tidak kiralah dari sahabat handai mahu pun saudara-mara sendiri.

Bercakap mengenai perkahwinan, perkara pertama yang akan didahulukan atau dititik beratkan sebelum merancang majlis perkahwinan adalah penetapan nilai wang hantaran.

Kalau dahulu, nilai wang hantaran ditetapkan mengikut kemampuan pihak lelaki asalkan tidak rasa terbeban untuk menyediakannya kepada pihak perempuan.

Namun, di zaman sekarang, semuanya nyata terlalu berbeza.

Sejajar dengan perubahan masa dan taraf pendidikan, ibu bapa sekarang ini sudah ‘berani’ meletakkan nilai wang hantaran yang tinggi kepada bakal menantu lelaki sekiranya ingin menikahi anak perempuan mereka.

Sekarang ini juga, kajian mengenai penetapan nilai wang hantaran yang diberikan kepada pihak perempuan mengikut taraf akademik juga dibuat di laman Facebook. Antara nilainya:

    -    UPSR & PMR : RM2,000 – RM4,000
    -    SPM : RM4,000 –  RM8,000
    -    STPM & DIPLOMA : RM8,000 – RM12,000
    -    IJAZAH : RM12,000 – RM15,000
    -    IJAZAH SARJANA : RM15,000 – RM20,000
    -    IJAZAH KEDOKTORAN : RM20,000 – RM30,000

Sekiranya pihak lelaki sendiri mempunyai kemampuan dan simpanan wang yang sangat kukuh, tiada salahnya untuk meminta nilai wang hantaran yang tinggi. Tiada salah juga kalau ingin mengadakan majlis resepsi yang ‘grand’, memakai pakaian yang mahal dan dihiasi dengan pelbagai barangan kemas.

Tetapi, bagaimana pula kalau permintaan nilai wang hantaran yang tinggi tidak dapat dipenuhi oleh pihak lelaki? Mampukah untuk pihak lelaki menyediakannya?

Sebenarnya, di dalam Islam sendiri, isu mengenai perkahwinan itu terlalu mudah. Perkara yang wajib yang perlu dipenuhi adalah pemberian Mas Kahwin atau Mahar, manakala pemberian wang hantaran adalah adat semata-mata.

Hantaran hanyalah tradisi atau adat yang telah berakar umbi di dalam masyarakat kita. Sedangkan tidak ada satu dalil pun di dalam Al-Quran mahu pun As-Sunnah yang menyatakan mesti menyediakan pemberian wang hantaran untuk pengantin wanita.

Tidak ada apa yang dikenali kini dalam Islam dengan hantaran. Jauh sekali istilah serba satu, serba dua, belanja hangus dan macam-macam istilah yang hanya memeningkan kepala pengantin lelaki sahaja.

Yang wajib adalah tetap pemberian mas kahwin. Mas kahwin boleh terdiri dari emas, duit, besi atau sekadar bacaan  dari Al-Quran.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu mas kahwin mereka.” – An-Nisaa’; 4.

Sabda Rasulullah S.A.W pula yang bermaksud, “Sesungguhnya nikah yang paling besar keberkatannya ialah yang paling murah (rendah) maharnya.” HR Al-Baihaqi.

Tetapi, ramai di kalangan kita takut untuk tidak mempunyai perkahwinan yang tidak ‘meriah’ dan ‘menarik’. Antara sebab yang dirisaukan adalah risau dengan cakap-cakap masyarakat sekeliling, malu dengan permintaan hantaran yang rendah, atau pun menjaga status serta mempunyai perasaan ingin bersaing dengan orang lain.

Walhal, mengadakan walimah atau majlis sambutan adalah untuk menghebahkan kepada umum mengenai satu ikatan yang sah sudah dijalinkan selain ingin mengukuhkan silaturrahim dengan semua pihak.

Apakah dengan meminta wang hantaran yang tinggi akan menjaminkan majlis yang sempurna? Tidak akan turunkah hujan ketika persandingan dilangsungkan? Atau, apakah semua tetamu akan hadir sekiranya majlis yang ‘grand’ dijalankan?

Perlu diingatkan, Islam itu terlalu mudah. Cuma, masyarakat kita yang suka menyusahkan diri dengan pelbagai perkara yang tidak sepatutnya. Akhirnya, perkahwinan yang masih awal dibebani dengan masalah hutang yang menimbun.

Jadi, perbelanjaan untuk menguruskan perkahwinan itu tidak perlulah terlalu mengikut nafsu sehingga membawa kepada pembaziran. Menguruskan perkahwinan juga boleh digunakan dengan prinsip berbelanja mengikut kemampuan.

Meletakkan nilai hantaran yang tinggi sebagai tanda ukuran hebatnya seseorang gadis itu belum menjaminkan dirinya adalah terbaik untuk menjadi isteri yang solehah. Nilai wang yang tinggi belum tentu juga si isteri dapat membantu suaminya merentasi titian Siratul Mustaqim di akhirat kelak.

Justeru itu, perbincangan yang baik perlu dijalankan secara hemah antara pasangan agar Baiti Jannati dapat didirikan dengan sempurna di atas dunia yang sementara ini. Wallahualam.

“Sesungguhnya wanita-wanita yang paling diberkati dan menjadi keutamaan adalah yang paling rendah mas kahwinnya.” HR Ibn Hibban.

sumber : mynewshub

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”