SEKITAR tiga bulan lagi teater yang mengangkat kisah hidup Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, 85, bakal dipentaskan di Istana Budaya. Ia diberi nama Teater Tun Siti Hasmah.
Dalam tempoh perjalanan tiga bulan ini, berkecamuk pelbagai perasaan dalam diri pendokong karakter tersebut, Erra Fazira. “Saya teruja dan berbesar hati kerana dapat membawa karakter tokoh ini, tapi dalam masa yang sama, agak tertekan kerana tanggungjawab saya besar apabila bersetuju untuk memainkan watak seorang tokoh yang masih hidup,” ujar Erra tanpa selindung.
Jelasnya, apa yang lebih membuat dia tertekan adalah perlu mencapai piawaian yang sebenar tentang membawa karakter Siti Hasmah kerana menurut Erra, bukan sahaja Siti Hasmah sendiri yang akan menilainya, tetapi ia juga akan dinilai oleh individu-individu yang dekat dengan diri beliau seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri serta anak-anak mereka. Dalam masa yang sama, dia juga perlu meyakinkan khalayak tentang kredibilitinya membawa karakter tokoh tersebut.
Bagaimanapun ujar Erra, dia tidak mahu tenggelam 100 peratus dalam karakter Siti Hasmah.
Katanya: “Saya memang tidak akan lari daripada perlu membawa karakter Tun Siti Hasmah, tetapi saya juga tidak boleh terlalu berusaha kerana untuk meniru menjadi beliau. Apa yang boleh saya katakan untuk peringkat ini, saya akan cuba memberi gambaran terbaik tentang karakter beliau.”
Baru dua kali bertemu dengan Siti Hasmah, aktres tersebut mengaku dia memerlukan beberapa siri pertemuan lagi untuk mendalami emosi Siti Hasmah sebagai seorang wanita, ibu kepada empat orang anak, bekas doktor, isteri kepada Dr. Mahathir dan bagaimana beliau menjalani kehidupan hariannya untuk memantapkan lakonannya kelak.
TUN SITI HASMAH berharap teater yang mengangkat kisah kehidupannya, Teater Tun Siti Hasmah mampu memberi impak yang baik terhadap masyarakat. Beliau juga yakin Erra mampu membawa karakter dirinya dengan baik.
Jika Erra melahirkan rasa gundahnya untuk membawa karakter sehebat Siti Hasmah, bagi tuan punya badan sendiri, beliau mengaku malu untuk berbagi ceritera kehidupannya kepada khalayak. Ujar wanita yang dilahirkan di Selangor namun menghabiskan kebanyakan masanya di Kedah itu, beliau bukan sesiapa dan tidak mempunyai sejarah penting untuk diangkat ke dalam naskhah teater. Justeru, beliau juga gugup untuk dipentaskan sebagai wanita ikon.
Beliau yang ditemui semasa sesi temu bual santai tentang teater tersebut pada pagi Jumaat lalu, bagaimanapun memberitahu, akhirnya terpaksa memberi persetujuan selepas dipujuk selama setahun oleh pihak produksi yang mahu mementaskan riwayat hidupnya, World Islamic Network Television Sdn. Bhd. (WINTV).
“Secara peribadi, saya malu untuk diangkat ke pentas teater kerana beranggapan saya hanya seorang wanita biasa yang tidak mempunyai apa-apa sejarah besar untuk diberitahu kepada umum.
“Bagaimanapun, saya mengalah selepas didesak dan bersetuju kepada pihak produksi supaya ia memberi fokus terhadap perkhidmatan saya kepada masyarakat iaitu sebagai seorang pegawai kesihatan,” ujarnya sambil tersenyum.
SITI HASMAH mahu dikenang sebagai seorang isteri yang taat kepada suaminya, Tun Dr. Mahathir dan mereka hidup bahagia dengan sokongan antara satu sama lain.
Ditanya bagaimana beliau mahu melihat corak pementasan tersebut,
adakah ia lebih menekankan kehidupannya sebagai seorang isteri mantan
perdana menteri atau memfokus terhadap kepakarannya sebagai doktor, Siti
Hasmah pantas menjawab, beliau mahu divisualkan sebagai seorang pegawai
kesihatan yang banyak berbakti dan memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Saya lebih senang jika teater ini memberi fokus terhadap karier saya
sebagai seorang pegawai perubatan. Selain itu, dalam masa yang sama,
saya juga merupakan seorang isteri kepada suami yang taat dan hidup
bahagia bersama suami saya,” katanya penuh berhemah.
Tambah Siti Hasmah, adalah penting untuk khalayak diberitahu tentang
kariernya kerana sewaktu zaman beliau berkhidmat sebagai pegawai
kesihatan di Kedah ketika awal perkahwinan dahulu, beliau dan pasukannya
telah berjaya menukar mentaliti masyarakat untuk meyakini bidang
kedoktoran.
“Perkara yang membanggakan pasukan kami pada waktu itu adalah apabila
mampu menukar mentaliti para ibu yang selalu mengambil khidmat bidang
kampung sewaktu bersalin, agar menggunakan khidmat bidan terlatih
daripada hospital. Untuk situasi pada zaman tersebut, ia dianggap
sebagai pencapaian yang baik buat kami,” ujarnya.
SITI HASMAH merupakan seorang wanita yang meminati muzik. Beliau pernah mempunyai sebuah kumpulan muzik pada zaman remaja dan membuat Tun Dr. Mahathir kagum dengannya selepas mengalunkan petikan piano dalam sebuah majlis.
Malah besar harapan beliau untuk melihat impak teater tersebut kelak mampu dirasai oleh para pegawai kesihatan khususnya wanita yang berkhidmat untuk menyelamatkan banyak nyawa.
“Walaupun saya tidak berani mengatakan apakah impak yang akan diperoleh selepas teater tersebut dipentaskan kelak, namun besar harapan saya agar ia mampu memberi inspirasi buat pegawai kesihatan wanita khususnya,” tambah Siti Hasmah lagi.
No comments:
Post a Comment