KUANTAN – Terengganu berjaya mencipta rekod apabila muncul juara keseluruhan buat kali keempat berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke -15 Pahang 2012 selepas berakhirnya tiga acara akhir, dekat sini semalam.
Biarpun tanpa beberapa acara ‘favourite’ yang tidak dipertandingkan pada Sukma kali ini, namun semangat ‘Terengganu Hanelang’ yang ditanam dalam kalangan atletnya terus membawa Terengganu melakar sejarah baru dalam juara sukan negara.
Terengganu dinobatkan selaku juara selepas meraih 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa, jauh meninggalkan pencabar terdekat, Selangor yang muncul naib juara dengan meraih 47 emas, 54 perak dan 60 gangsa.
Manakala Pahang selaku tuan rumah menduduki tempat ketiga apabila memperoleh 45 emas, 40 perak dan 38 gangsa.
Kali pertama Terengganu muncul juara keseluruhan Sukma adalah ketika menjadi tuan rumah temasya itu pada 2008 dengan meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.
Dua tahun kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan juara apabila memungut 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.
Tahun lalu, Terengganu melakar hatrik dengan mengungguli temasya Sukma buat kali ketiga berturut-turut selepas membawa pulang 23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa.
Skuad lumba basikal muncul antara penyumbang terbesar buat kontinjen Terengganu dan terus mendominasi acara itu apabila membawa pulang 12 pingat emas, manakala skuad olahraga turut menampilkan prestasi mengagumkan apabila menyambar lapan pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan dalam acara tersebut.
Malah, atlet memanah Terengganu juga melakar sejarahnya tersendiri apabila muncul juara keseluruhan buat pertama kalinya dengan meraih sembilan pingat emas.
Paling dramatik, kejayaan skuad hoki Terengganu yang mengakhiri kemarau beraksi di pentas final, iaitu hoki wanita yang terpaksa menunggu selama 20 tahun, manakala pasukan hoki lelaki (16 tahun menunggu) untuk membolot emas yang dipertandingkan malam kelmarin.
Perlawanan mendebarkan skuad hoki lelaki menentang Wilayah Persekutuan yang memaksa perlawanan dilanjutkan ke penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4, akhirnya melegakan kontinjen dan seluruh warga Terengganu apabila mereka menghadiahkan emas ke 62 buat negeri.
Lebih membanggakan, Terengganu yang menyasarkan 47 pingat emas pada Sukma kali ini, berjaya membolot sehingga 62 kilauan emas.
No comments:
Post a Comment