Friday, 21 December 2012
Erra Fazira Primadona Filem Melayu
BERUNTUNG menjadi Erra Fazira yang disayangi ramai peminat. Bekas pemenang Ratu Cantik Malaysia World 1992 yang turut mewakili negara ke peringkat akhir di Botswana, Afrika ini mula dikenali menerusi lakonannya dalam filem Sembilu.
Selepas itu popularitinya terus meningkat naik sehingga digelar sebagai primadona filem Melayu era 1990-an oleh sebahagian peminat setia yang terus menyokong pembabitannya dalam bidang seni.
Dek kerana rasa sayang itulah, peminat yang bernaung di bawah kelab peminatnya, Bersama Erra (BE) bertungkus-lumus menganjurkan majlis minum petang bersama Erra di Restoran Puteri, Sungai Penchala, pada petang Ahad lalu.
Kedatangan pelakon jelita ini dinantikan dengan penuh sabar oleh mereka yang hadir berkonsep warna merah jambu dan putih sejak jam 2.30 petang lagi. Sebaik Erra bersama anaknya, Engku Aleesya Engku Emran tiba, suasana menjadi gamat apabila hampir 100 peminat ini berdiri sebagai menunjukkan tanda hormat menyambut kehadiran artis pujaan mereka.
Gimik ditampilkan apabila tiga penari menari di atas pentas dengan iringan lagu nyanyian Erra sendiri. Tidak terhenti setakat itu, Erra dijemput spontan naik ke atas pentas menyanyikan medley lagu-lagu popularnya iaitu Pertemuan, Hanya Di Mata dan Jendela Hati.
Suasana ketika ini agak lucu kerana Erra sendiri mengakui sudah lupa antara lirik lagu ini. Bagaimanapun, ia tidak sedikitpun menghalang kemeriahan majlis yang hangat biarpun suasana di luar ketika itu hujan lebat.
Sesuai dengan temanya, pelbagai acara bersifat ‘intim’ dijalankan antara Erra dan peminat yang sudah lama menanti peluang keemasan ini. Bukan saja dari Kuala Lumpur, malah antara mereka hadir dari Johor dan Sabah.
Turut menyertai ialah kawan-kawan lama Erra sejak di bangku sekolah yang hadir dengan nostalgia tersendiri menjadikan suasana pertemuan ini sangat indah.
Sudah ada Erra di depan mata, apalagi masing-masing berebut-rebut mahu bergambar sehingga terpaksa ditenangkan oleh pengerusi majlis. Mereka bersorak gembira apabila diberitahu Erra akan menjelajah dari meja ke meja untuk bertanya khabar dan berbual mesra.
Bertemunya selepas majlis berakhir, Erra memberitahu kali terakhir majlis ini diadakan ialah 10 tahun lalu. Justeru tidak menghairankan dia juga teruja apabila berkesempatan hadir pada majlis ini.
“Tema yang ditampilkan ketika itu ialah kembali ke sekolah. Memang seronok sangat acaranya. Sebenarnya perancangan awal kami nak main boling. Tapi hasrat ini tak kesampaian kerana masa yang terhad.
“Program kali ini pun dirancang sejak beberapa bulan lalu. Semua urusannya dibuat oleh kelab BE. Saya bertuah kerana bekas pekerja saya, Iman Hussein turut berada dalam BE dan dia banyak membantu.
“BE kini dikendalikan secara sukarela oleh mereka. Saya tak nak kendalikan sendiri dan ambil bayaran kerana kalau mereka bayar dan saya tak buat aktiviti pun tak bagus juga.
“Sekarang bila saya ada masa barulah mereka buat aktiviti. Lainlah dulu zaman saya aktif menyanyi kerana saya perlu ‘cipta’ sesuatu untuk peminat dan buat apa yang mereka nak.
“Saya begitu menghargai apa yang dilakukan dan terbukti mereka pengikut
tegar saya dulu, kini dan selama-lamanya. Ada juga peminat saya sejak zaman muda dan sekarang turunkan minat itu pada anak-anak,” kata Erra.
Erra kini terbabit dalam penggambaran filem terbaru Longkai terbitan Metrowealth (MIG). Filem arahan Hashim Rejab ini menemukannya dengan Faizal Hussein, Dira Abu Zahar dan Wawa Zainal.
“Dah lama saya tak berlakon dengan MIG. Kali terakhir ialah tiga tahun lalu.
Dalam filem ini saya bukanlah bawa watak utama sebaliknya hanya pegang watak lain yang ada cerita di sebaliknya.
“Dari dulu lagi saya amalkan prinsip ini. Saya tak kisah tak jadi heroin. Bahkan dulu pun saya dah minta pada penerbit untuk buat watak pembantu. Saya nak mencuba pelbagaikan lakonan saya.
“Saya juga masih terbabit sebagai pengacara Primadona bersama Rozita Che Wan, Ziela Jalil dan Raja Azura. Saya anggap saya belajar daripada mereka dan masih mencipta keserasian.
“Berbanding episod pertama, saya dapat rasakan ada peningkatan dalam pengacaraan sekarang. Saya jadi pengacara Primadona secara kebetulan. Ia tak dirancang pun dalam agenda seni saya.
“Memang saya pernah tampil dengan program terbitan sendiri berjudul Fesyen Tempo suatu ketika dulu, tapi pengisiannya berbeza. Ia lebih kepada fesyen berbanding Primadona yang merangkumi pelbagai topik,” katanya.
Mengulas kerjaya nyanyiannya pula, Erra akan muncul berduet dengan sahabat baiknya, Umie Aida tidak lama lagi. Katanya lagu ini dihasilkan suka-suka oleh mereka.
“Semua orang ada sahabat dan inilah yang kami buat. Lagu berjudul Hanya Engkau (BFF) ini dicipta oleh Azlan Abu Hassan dan akan diketengahkan kepada peminat pada bila-bila masa. Projek album saya yang berikutnya akan difikirkan pada tahun depan,” kata Erra.
Labels:
Sensasi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment