Friday, 21 December 2012
keburukan wat Hubungan sebelum kahwin
APABILA cinta menguasai diri dan nafsu mengatasi segalanya, pertimbangan diri menjadi lemah hingga menyebabkan terjerumus dalam isu seks sebelum berkahwin.
Seks satu perkataan ringkas tetapi mempunyai pemahaman yang sungguh luas dan subjektif. Jika sekali mencubanya, pasti ia memerangkap diri sendiri.
Konflik menjadi semakin rumit apabila pasangan kekasih ini melakukan seks sebelum kahwin dan remaja wanita pula didapati mengandung. Kemudian mereka mengambil keputusan melakukan pengguguran haram atau membuang bayi tersebut. Isu ini bukan baru menular di kalangan remaja tetapi telah berlaku di kalangan masyarakat sejak dahulu lagi.
Pada era globalisasi ini, ramai yang lebih terbuka dalam membicarakan perihal seks dari pelbagai sudut dan perspektif walaupun masih ada yang menganggap ia sesuatu yang tabu dan tidak manis diperkatakan, terutamanya oleh mereka yang belum berkahwin.
Lupakan sejenak perbezaan kedua-dua pendapat ini kerana realitinya, semakin ramai remaja terbabit dalam aktiviti seks sebelum kahwin atau seks luar nikah ini.
Walaupun sejak kanak-kanak lagi, masyarakat telah diberitahu bahawa seks adalah satu perkara yang ‘tidak baik’ melainkan adanya ikatan perkahwinan antara dua pasangan lelaki dan perempuan, masih ada juga yang terbabit dalam seks luar nikah.
Bukan itu saja, ada yang melakukan seks oral (hubungan seks yang membabitkan mulut dan alat sulit saja) dengan anggapan bahawa ia ‘ringan’ dan tidak akan menyebabkan kehamilan.
Harus diingat, biarpun tidak menyebabkan kehamilan, ia masih berisiko untuk menyebarkan penyakit kelamin, herpes, sifilis dan hepatitis.
Menurut Pakar Sakit Puan dan Perbidanan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Nur Azurah Abdul Ghani, golongan remaja perlu menghindari hubungan seks sebelum kahwin untuk menghindari jangkitan penyakit kelamin (STD) dan mengandung luar nikah.
“Hubungan seks boleh menyebabkan jangkitan pelbagai penyakit kelamin seperti jangkitan pelvis dan kanser rahim.
“Oleh itu remaja perlu menghindari seks sebelum kahwin dan hubungan seks selepas berkahwin adalah lebih selamat.
“Selain itu, sudut sosial juga perlu diambil kira kerana kehamilan luar nikah ini menyebabkan ramai remaja yang memilih untuk menggugurkan dan membuang bayi.
“Maka, terjadilah kes bayi dibuang dalam tong sampah dan memilih menggugurkan kandungan di klinik-klinik tidak berdaftar yang akhirnya menjejaskan lagi kesihatan,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja dalam Forum Pengurusan Bijak tentang Kesihatan dan Gejala Sosial Remaja di HUKM, baru-baru ini.
Tambah Dr. Nur Azurah, dari segi fizikal dan emosi, usia remaja tidak sesuai dan mereka sendiri belum bersedia untuk menjadi ibu bapa.
Malah, semua pegangan agama juga melarang lelaki dan perempuan menjalankan hubungan seks sebelum berkahwin.
Persoalannya, adakah remaja ini menyesali perbuatan mereka?
Dr. Nur Azurah menjelaskan, jawapannya: `Ya’ kerana remaja khususnya wanita yang pernah menjalinkan hubungan seks ini memberitahu yang mereka tertekan kerana khuatir akan hamil.
“Pada saat ini, remaja jadi serba tidak kena dan mereka akan membeli alat ujian kehamilan dan memeriksa sendiri sama ada mereka hamil atau tidak.
“Bukan itu sahaja, hubungan seks juga boleh membawa kepada penyakit AIDS dan STD.
“Apabila diminta membuat ujian, misalnya, kerajaan telah menetapkan sebelum berkahwin pasangan perlu membuat ujian HIV, mereka takut dan mengalami kerisauan yang melampau,’’ katanya.
Jelas Dr. Nur Azurah, mengikut kajian yang dibuat, jumlah remaja wanita yang menyesali hubungan seks sebelum berkahwin lebih tinggi berbanding remaja lelaki.
Apabila ditanya sebab mereka melakukan hubungan seks tanpa nikah, remaja selalu memberi alasan bahawa susah hendak meninggalkan tabiat ini seolah-olah ‘ketagih seks’.
“Sekiranya remaja itu ada rasa bersalah, ia merupakan tindak balas yang sihat kerana remaja ini mempunyai kesedaran perkara yang betul dan salah.
“Ini menunjukkan remaja ini perlukan pendidikan seks yang boleh diberikan sendiri oleh ibu bapa, pihak sekolah dan pegangan agama yang kukuh,’’ jelasnya.
Tambah Dr. Nur Azurah, remaja yang telah dijangkiti penyakit kelamin merasakan dirinya terlalu kotor, hilang keyakinan diri dan menjadikan perkembangan personaliti seseorang itu terbantut.
“Pada usia remaja, seseorang itu sepatutnya ceria dan gembira tetapi apabila tertekan, ia menghalang personaliti mereka berkembang dengan baik,’’ katanya.
Ada juga kes yang menyebabkan kematian seperti membunuh bekas kekasih yang menjalinkan hubungan sulit dengan orang lain kerana rasa cemburu yang melampau.
Di samping itu, hubungan seks tanpa nikah ini menyebabkan seseorang itu tidak mempercayai orang lain.
Malah, ada juga yang sering mencari alasan untuk menjalinkan hubungan seks dengan menipu, memujuk dengan berjanji akan berkahwin dan sebagainya.
“Cara yang terbaik untuk menghindari masalah ini ialah mengelak daripada mengadakan hubungan seks.
“Bagaimana caranya kita menjawab soalan apabila diajak mengadakan hubungan seks oleh pasangan kita itu amat penting.
“Seharusnya kita berbincang dan berkomunikasi dengan pasangan kita,’’ katanya.
Dr. Nur Azurah turut menasihati agar remaja tidak tertipu dengan ayat yang selalu dilafazkan oleh pasangan terutamanya remaja lelaki iaitu ‘jika awak mencintai saya, awak perlu mengadakan hubungan seks dengan saya’.
“Ibu bapa merupakan individu dan saluran yang terbaik untuk remaja berbincang tentang masalah yang dialami termasuk masalah seks. Anda boleh bertanya dan bercerita secara baik dengan mereka.
“Ingat, anda boleh mendapat STD dan mengandung dengan melakukan seks.
“Air mani yang tertumpah berdekatan atau masuk ke dalam faraj memberi peluang untuk anda mengandung atau mendapat STD.
“Jangan sekali-kali mencuba seks sebelum berkahwin kerana ia boleh memberi impak yang negatif dalam hidup anda,’’ jelasnya.
Pendek kata, berfikir dahulu sebelum melakukan seks sebelum berkahwin dan fikirkan masa depan anda yang masih panjang lagi.
Labels:
Sensasi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment