Thursday 3 January 2013

Kelab pengutip barang lusuh


Peerathorn memilih botol terpakai di kedai untuk dibungkus di kelab pemungut barang lusuh di timur Bangkok semalam.
Bangkok: Sebuah kelab pengutip barang lusuh ditubuhkan di timur Bangkok bagi membolehkan pemungut mendapatkan barangan keperluan dan tukaran lebih baik. 

Melalui kelab itu, pemungut yang menjadi ahli, boleh menyerahkan barang lusuh di kedai milik kelab itu untuk ditukarkan dengan pelbagai keperluan harian seperti beras, sardin, telur, mi segera, sabun atau ubat gigi.
“Kelab akan mengumpulkan barangan ini sebelum dijual semula dalam jumlah besar kepada pembeli. Kami mendapat harga yang lebih baik dan faedahnya dikembalikan kepada ahli dalam bentuk dividen, insuran dan faedah perubatan,” kata pengasas kelab itu Peerathorn Seniwong.

Peerathorn, 45, berkata beliau bersama isterinya Buarin mendapat idea untuk menubuhkan kelab berkenaan selepas menjalani hidup sebagai gelandangan dan tinggal di bawah jejambat selama enam tahun.

“Kami terfikir untuk membantu orang yang senasib dan tiba-tiba kami terfikirkan sampah. Setiap orang mesti ada sampah dan barangan tidak berguna di rumah mereka. Sampah itu mungkin boleh dikitar semula dan dijual untuk membantu ahli,” katanya.

Beliau berkata kelab itu kini mempunyai 800 ahli termasuk 35 isi rumah terdiri daripada pemungut, selain penduduk tempatan berhampiran yang sudah mengetahui mengenai kedai di kelab berkenaan.

“Kadang-kala kami perlu membeli sesuatu seperti kicap atau beras secara hutang. Bagaimanapun sebilangan pekedai memandang hina kepada kami dan bimbang jika kami tidak membayarnya. Atas sebab itulah kami menubuhkan kedai kami sendiri,” katanya.
Seorang pengumpul yang hanya dikenali sebagai Rai berkata beliau mendapat kira-kira AS$10 (RM13.00) sehari hasil daripada memungut barang lusuh tetapi jumlah itu tidak mencukupi.

“Jika kami menghadapi kesulitan, kami akan ke kelab untuk menukar barang lusuh dengan beras, sabun dan apa saja barang keperluan harian,” katanya.

Sementara itu Insitut Pengurusan dan Pembungkusan Barangan Lusuh Bagi Alam sekitar Lebih baik berkata, Thailand mempunyai ratusan ribu penduduk yang bergantung kepada sampah dan barangan lusuh untuk menyara hidup.

“Sebanyak 15 juta tan sampah dan barangan lusuh dikitar semula setiap tahun. Sumbangan pemungut membantu mewujudkan persekitaran lebih baik bagi negara ini,’ kata jurucakap insitut itu.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”