Thursday, 3 January 2013

Yuna Cari pengganti



Yuna beri keputusan siapa dendangkan lagu Terukir di Bintang pada AJL 27, hari ini.
Andai sebelum ini, banyak kisahnya dikongsi bersama peminat di laman Twitter, entah kenapa kali ini, penyanyi lagu Terukir di Bintang, Yuna senyap bila dia rupa-rupanya menarik diri daripada menyertai Anugerah Juara Lagu Ke-27 (AJL 27), Ahad ini.

Melalui pengurusnya, Nor Zaina Wardah atau Wawa, HIP mendapat tahu Yuna sekarang berada di Amerika Syarikat (AS) dan sedang menjalani proses rakaman untuk album terbaru bersama gitaris kumpulan rock terkenal, Incubus iaitu Mike.
Wawa memberitahu, dia masih menunggu jawapan Yuna berhubung penyanyi yang bakal menggantikannya mendendangkan lagu Terukir di Bintang pada malam kemuncak AJL 27.

“Setakat ini, kami sudah ada beberapa nama tetapi sedang menunggu kepastian daripada Yuna.

“Apabila sudah ada jawapan, pihak TV3 akan mengeluarkan kenyataan. Mungkin esok (hari ini) atau Jumaat, pihak TV3 yang akan akan umumkan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.


Namun, semalam, heboh di blog kononnya penyanyi senior, Uji Rashid yang popular pada era 1970-an akan menggantikan Yuna mendendangkan lagu Terukir di Bintang.
“Mengenai ura-ura itu, saya tidak ada komen kerana kami ada beberapa nama.

“Keputusan adalah 100 peratus dari Yuna, jadi saya masih menunggu jawapan dari dia. Saya tidak boleh memberi komen lebih pasal pengganti. Ini kerana sekarang kami perlu tunggu keputusan dari pihak TV3,” katanya.


Bernaung dengan syarikat rakaman lebih besar


Wawa juga menjelaskan isu penarikan diri Yuna daripada AJL 27.

“Yuna tidak tarik diri. Dia cuma tidak dapat pulang ke Malaysia ketika AJL berlangsung. Ini disebabkan urusan kerja yang memang tidak dapat nak dielak.

“Yuna cuma akan pulang ke Malaysia selama tiga hari untuk pembabitannya bersama Samsung dan lima hari untuk perkahwinan sepupunya selain urusan lain,” katanya.

Ditanya apakah Yuna tidak mengharap kemenangan dalam AJL kali ini, Wawa memberitahu, Yuna meletakkan isu kalah atau menang di tangan juri profesional.

“Bagi Yuna, apa yang penting mereka memberi persembahan terbaik pada malam itu. Tidak kira siapapun penyanyi yang akan menggantikan tempatnya,” katanya.

Mengenai laporan Yuna disunting label lebih besar di AS dan meninggalkan syarikat rakaman, Fader Label, Wawa berkata:

“Saya tidak boleh umumkan kerana pihak pengurusan Yuna di AS yang akan menghebahkannya, tidak lama lagi,” katanya.

HIP cuba mendapatkan reaksi Penerbit Eksekutif AJL 27, Muhamad Sufian Che Isa. Namun, dia tidak mahu mengulas kerana menunggu keputusan berhubung pengganti Yuna pada malam kemuncak AJL 27.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”