Thursday, 3 January 2013

Pasangan Kh@lw@t Larikan Kereta JAIP


Kuantan: Sepasang kekasih melarikan kenderaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) selepas mereka ditangkap khalwat di sebuah hotel di Jalan Wong Ah Jang, di sini, awal pagi semalam.


Difahamkan, mereka masing-masing berusia 18 tahun ditahan bersama pasangan lain di hotel berkenaan pada jam 7 pagi dalam operasi cegah maksiat yang dijalankan jabatan berkenaan sempena tahun baru.
Kedua-dua pasangan itu kemudian dibawa menaiki kenderaan JAIP sebelum pasukan penguat kuasa berhenti di sebuah hotel berdekatan untuk pemeriksaan selanjutnya.

Ketika semua anggota penguat kuasa termasuk pemandu kenderaan terbabit membuat pemeriksaan, peluang digunakan pasangan remaja itu untuk melarikan kenderaan berkenaan yang tidak dimatikan enjinnya.

Sumber berkata, kenderaan berkenaan berjaya ditemui semula kira-kira jam 9 pagi selepas ditinggalkan di Bandar Indera Mahkota berhampiran Mahkamah Kuantan, di sini.

“Ketika ditemui, pasangan yang melarikan kenderaan berkenaan tiada di dalam kenderaan terbabit dipercayai sudah melarikan diri namun satu lagi pasangan yang turut ditahan bersama mereka masih berada di dalam kenderaan.

“Namun pasangan yang melarikan kenderaan itu akhirnya datang menyerah diri di pejabat JAIP kira-kira jam 11 pagi selepas pihak kami masih memegang kad pengenalan milik kedua-dua remaja itu,” katanya.


13 pasangan ditahan

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa JAIP, Ahmad Rafli Abdul Malek, berkata kejadian itu berlaku ketika pihaknya melakukan operasi cegah maksiat sempena tahun baru di beberapa hotel bajet sekitar bandar ini selain serbuan ke rumah selepas menerima aduan orang awam.

“Dalam operasi selama tiga jam bermula 6.30 pagi itu, 13 pasangan ditahan kerana berkhalwat dan mereka di bawa ke pejabat JAIP untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan namun akan dipanggil semula untuk proses pendakwaan.

“Malah pasangan remaja yang cuba meloloskan diri sebelum itu juga sudah menyerah diri dan mereka dilepaskan selepas diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, 40 anggota penguat kuasa JAIP dari seluruh negeri terbabit dalam operasi berkenaan yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). -

Sumber:http://www.fuzore.com/

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”